Anda di sini

Mawan tegur bekas AJK SDNU gelar Rumah Dayak sebagai ‘Kedai Tan Sri’

Advertisement
Mawan memukul gong sebanyak tujuh kali sebagai simbolik pelancaran SDNU Food Fair@Rumah Dayak 2024 di Satok malam semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Malcolm, Salang, Christopher, Wilson dan Kennedy.
Mawan memukul gong sebanyak tujuh kali sebagai simbolik pelancaran SDNU Food Fair@Rumah Dayak 2024 di Satok malam semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Malcolm, Salang, Christopher, Wilson dan Kennedy.

KUCHING: Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Tan Sri William Mawan Ikom menegur salah seorang bekas ahli jawatankuasa tertingginya yang menggelar bangunan baharu Rumah Dayak di Jalan Satok sebagai ‘Kedai Tan Sri’.

Menurut beliau yang juga penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), sindiran itu tidak wajar kerana Dr John Brian Anthony pernah menjadi ahli exco kesatuan.

"Dr John Brian menggelar Rumah Dayak itu ‘Kedai Tan Sri’. Itu tidak wajar. Sedangkan beliau merupakan bekas exco kami,” katanya mengulas komen balas muat naik di laman Facebook yang disiarkan Utusan Borneo sebelum ini mengenai projek berkenaan.

“Adalah tidak adil untuk menyindir ahli exco kesatuan sekarang sedangkan mereka bekerja tanpa mengenal penat lelah mencari penyelesaian bagi menyiapkan projek yang dibiayai pihak swasta itu," katanya.

Beliau meluahkannya selepas Pelancaran SDNU Food Fair@Rumah Dayak 2024 di Satok malam semalam.

Projek tersebut merangkumi menara 12 tingkat, telah dicadangkan pada 1997 dan sejak itu, exco kesatuan silih berganti setiap musim tanpa ada kemajuan pada kerja-kerja projek yang dijalankan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan itu telah mengambil alih jawatan Presiden pada 2012 dan memainkan peranan penting dalam mengaktifkan semula projek itu yang telah terhenti sekian lama.

"Tolong jangan perkecilkan exco kesatuan. Masa kita menjadi exco, perlu buat yang terbaik untuk pastikan blok kedai (sekurang-kurangnya) siap dan sebagainya," tambahnya kemudian.

Beliau berkata, terdapat juga beberapa suara netizen yang telah kedengaran mempersendakan pemasangan papan tanda Rumah Dayak atas beberapa sebab peribadi.

Beliau menjelaskan bahawa papan tanda RM19,000 yang dipasang kelmarin (Jumaat) menandakan permulaan untuk banyak perkara yang baik yang bakal mendatang untuk kesatuan dan masyarakat secara amnya.

Tegasnya, masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan, termasuk memulakan usaha untuk mengalakkan perniagaan dijalankan di dalam bangunan itu.

"Papan tanda itu bercakap untuk dirinya sendiri. Pada asasnya, ia menekankan kepentingan kita Dayak untuk dilihat dalam bahagian ini.

"Ini adalah sesuatu yang kita akan tinggalkan untuk generasi akan datang dan saya pasti ada banyak lagi yang bakal mendatang,” ujarnya.

Timbalan Presiden SDNU Christopher Gira Sambang yang juga ADUN Tamin berkata kesatuan itu perlu mempertimbangkan untuk mengecat muka depan blok kedai Rumah Dayak dengan motif Dayak.

Itu bukan sahaja untuk mengindahkan blok kedai terbabit tetapi sebagai refleksi kepada cadangan segelintir masyarakat Dayak, jelasnya.

Naib Presiden Kanan SDNU Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, ahli khususnya perlu berasa bersyukur kerana pihak kesatuan sudah mempunyai tempat baharunya sendiri menggantikan premis lama di Batu Kawah.

SDNU telah ditubuhkan pada 1956.

"Kami kini mempunyai bumbung dan tiang (bangunan untuk dipanggil rumah). Seterusnya adalah untuk warga ahli menceburkan diri dalam bidang perniagaan. 

"Pengetahuan kita dalam perniagaan secara amnya masih jauh ketinggalan berbanding masyarakat Cina tetapi ia boleh dilakukan apabila kita mempunyai kemahuan.

"Belajar daripada orang Cina, terutama bagaimana untuk bertahan," tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang turut menegaskan bahawa penyertaan NGO khususnya SDNU amat penting dalam merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Sementara itu, Naib Presiden SDNU Kennedy Chukpai Ugon yang merupakan ADUN Murum dan ADUN Krian Friday Belik berkata mereka bersetuju dengan Ugak, bahawa Dayak khususnya, mesti membantu masyarakat terlebih dahulu.

Menteri Perpaduan Negara Persekutuan Dato Sri Aaron Ago Dagang yang merupakan Ahli Parlimen Kanowit menekankan untuk mengekalkan perpaduan manakala Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Negeri Datuk Malcolm Mussen Lamoh yang juga ADUN Batang Ai mengucapkan tahniah kepada kesatuan itu kerana kesungguhannya.

Turut hadir Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum.
 

Advertisement