Anda di sini

Kebersihan udara diutamakan, jadikan Kuching sebagai bandar raya terbersih di dunia

Advertisement
Abang Johari menerima cenderahati daripada Dr Rahman Junaidi sebagai tanda kenang-kenangan sambil disaksikan tetamu jemputan lain. - Gambar UKAS
Abang Johari menerima cenderahati daripada Dr Rahman Junaidi sebagai tanda kenang-kenangan sambil disaksikan tetamu jemputan lain. - Gambar UKAS

KUCHING: Aspek kebersihan udara perlu diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan kedudukan Kuching sebagai antara bandar raya terbersih di dunia.

Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak membuat satu pendekatan dari sudut aliran trafik dan mobiliti kenderaan bagi mengurangkan pencemaran udara.

“Untuk kita pertahankan kedudukan bandar raya kita sebagai salah satu bandar terbersih, maka Sarawak satu-satunya negeri yang mengutamakan penggunakan bahan api yang mesra alam iaitu hidrogen.

“Pengangkutan awam kita menggunakan bahan api yang bersih dan kita berharap kenderaan yang digunakan di Sarawak juga menggunakan bahan api terbersih mengikut pelan hala tuju kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat malam.

Premier Sarawak menambah, penggunaan Transit Aliran Autonomi (ART) juga menjadi satu pendekatan mesra alam di mana pengangkutan awam itu tidak mencemarkan alam sekitar.

“Saya berharap DBKU dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan mengenal pasti dan sentiasa berhubung dengan rakyat betapa pentingnya mempunyai pengangkutan awam yang tidak mencemarkan udara.

“Ini akan menaikkan lagi kedudukan kita sebagai salah satu bandar raya terbersih di dunia untuk jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dalam ucapannya berkata DBKU bercadang untuk menjalinkan kerjasama dengan bandar raya Kyoto di Jepun.

Beliau berkata lawatan ke Jepun membolehkan mereka menyaksikan banyak amalan terbaik untuk penambaikan untuk bandar raya Kuching.

“Saya mohon agar satu kertas kerja disediakan bagi tujuan tersebut untuk dibentangkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam masa terdekat,” katanya.

Dr Abdul Rahman menambah, cadangan itu susulan daripada lawatan rombongan DBKU ke Miyako Ecology Center, Kyoto yang diberi pendedahan tentang insiatif menjaga alam sekitar oleh Kyoto Municipal Center termasuk ke Sustaina Kyoto bagi mempelajari pengurusan sisa sisa pepejal. 

Jelasnya, ia juga merupakan salah satu slogan DBKU iaitu Clean, Beautiful, Safe, Smart dan Sustainable (CBS) iaitu teras ‘Clean’ atau bersih terutamanya dalam  menginstitusikan Sampah Sifar ataupun ‘Zero Waste’.

“Selain itu, untuk 'Beautiful' atau Cantik pula, sasarannya adalah untuk menjadikan Kuching sebagai bandaraya bercahaya dihiasi kehijauan serta alam bina yang estetik,” tambahnya lagi.
 

Advertisement