Anda di sini

Semua ketua jabatan, agensi di bawah MUDeNR digesa pantau rapi projek

Advertisement
Awang Tengah (tiga kiri) menyampaikan penghargaan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada majlis malam semalam. Turut kelihatan Len Talif (dua kanan).
Awang Tengah (tiga kiri) menyampaikan penghargaan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada majlis malam semalam. Turut kelihatan Len Talif (dua kanan).

KUCHING: Semua ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) digesa untuk memantau dengan rapi kesemua projek di bawah tanggungjawab masing-masing.  

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dengan itu man-mana projek berstatus belum mula dan dalam perancangan hendaklah dimulakan dengan kadar segera dan disiapkan menjelang tahun 2025. 

“Apabila bilangan projek sambungan dapat dikurangkan, sudah tentu lebih banyak projek baharu akan dapat ditambah dalam RMK13 untuk Kementerian ini nanti.  

“Sekiranya ada projek yang tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu maka ambil tindakan segera untuk memindahkan siling peruntukan ke projek projek lain yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Warga MUDeNR 2024 di sini, malam semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri MUDeNR II berkata, salah satu projek yang perlu diberi tumpuan adalah  Projek Limbang Lawas Local Plan 2035.  

Katanya dengan adanya kajian Local Plan yang komprehensif ini, ia dapat menjamin kelestarian dan keseimbangan pembangunan di daerah Limbang dan Lawas daripada aspek fizikal dan ekonomi.

Beliau berkata pelbagai projek bakal dan sedang dilaksanakan dengan rancaknya di daerah Limbang dan Lawas seperti projek perindustrian, jambatan, lapangan terbang, Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) Project dan Lebuh Raya Pan Borneo.  
 
“Selain daripada Limbang Lawas Local Plan 2035, terdapat dua lagi projek yang tidak kurang penting iaitu Miri City Local Plan 2035 dan Sibu Town Local Plan 2035.
 
“​Saya juga menggesa supaya projek-projek yang siap hendaklah dinilai atau diteliti penggunaannya.  

“Sekiranya projek yang telah siap tersebut tidak dapat digunakan atas sebab-sebab tertentu, tindakan segera hendaklah diambil untuk mengatasinya agar ia dapat dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, tahun 2024 merupakan tahun kritikal kerana kini telah berada di separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).  

“Baki setahun setengah lagi sebelum memasuki RMK13 bermakna tinggal setahun setengah lagi untuk kita menyiapkan kesemua projek yang telah diluluskan di bawah RMK12.  
 
“Kita perlu bekerja keras untuk memastikan kesemua projek sedia ada siap dilaksanakan sepenuhnya sebelum dapat bersaing untuk mendapat lebih banyak lagi projek baharu,” tegasnya.

Beliau berkata keupayaan dan kecekapan dalam pengurusan projek pastinya akan dinilai sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan peruntukan projek projek baharu di bawah RMK13 nanti.
 
Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.
 

  • oleh
  • Advertisement