Anda di sini

PBB akan bantu SUPP rampas Bawang Assan

Advertisement

Kerusi itu secara tradisinya milik SUPP dan adil PBB membantu SUPP memenanginya

Christopher (duduk tengah) pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan PBB N.53 Bawang Assan di Sibu, semalam.
Christopher (duduk tengah) pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan PBB N.53 Bawang Assan di Sibu, semalam.

“Bawang Assan milik SUPP dan kami tidak mahu mengeruhkan keadaan.” 

Romeo Christopher Tegong
Ketua PBB Cawangan Bawang Assan

Oleh Michael Ubam 

SIBU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bawang Assan akan bekerjasama dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk merampas kembali kerusi bagi Parti Gabungan Sarawak (GPS) pada pilihan raya akan datang.

Ketua Cawangannya Romeo Christopher Tegong berkata, kerusi itu secara tradisinya adalah milik SUPP dan adalah adil mereka membantu SUPP memenangi kerusi itu.

“Bawang Assan milik SUPP dan kami tidak mahu mengeruhkan keadaan.

"Oleh itu, kami telah membuat keputusan untuk bekerja keras dan bekerjasama dengan SUPP untuk memenangi kerusi Bawang Assan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Cawangan PBB N.53 Bawang Assan di sini, semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Premier Sarawak berkata, jika pembangkang memenangi kerusi itu kerana perselisihan faham dan pergaduhan dalaman antara parti komponen GPS maka hanya rakyat yang akan menderita.
 
Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri boleh diadakan tahun depan atau pada 2026 dan cawangan PBB Bawang Assan sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya itu.

Dedahnya, cawangan PBB Bawang Assan mempunyai 3,724 ahli dan mereka boleh menyumbang sekurang-kurangnya 3,500 undi kepada calon GPS.

Oleh itu, beliau menyeru sayap wanita dan belia cawangan untuk bekerja keras dan memastikan kejayaan untuk calon GPS pada pilihan raya akan datang.

Christopher berkata, terlalu banyak isu yang menjejaskan kehidupan penduduk Bawang Assan dan mereka amat memerlukan wakil rakyat yang bertenaga dan berani untuk menjadi suara mereka dalam Persidangan DUN.

“Kita mesti bekerja keras kali ini kerana kawasan Bawang Assan sudah lama ketinggalan dari segi pembangunan seperti projek transformasi luar Bandar (RTP), rumah panjang usang, infrastruktur dan prasarana lain.

Mengenai pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan ahlinya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), Christopher mengalu-alukan langkah itu sambil menambah, mereka boleh bekerjasama untuk manfaat GPS.

“Kami sangat mengalu-alukan ahli PSB menyertai PDP kerana ia bagus untuk Bawang Assan kerana ia bermakna pembangkang akan berkurangan namun kami berharap mereka ikhlas dalam tindakan mereka.

"Kita tidak mahu mereka menyertai PDP dan apabila tiba masa pilihan raya, akan berlaku pergaduhan.

"Kami telah belajar daripada pengalaman dan perkara seperti itu berlaku,” tegasnya.

Christopher mengulangi bahawa sesiapa sahaja calon yang dicadangkan oleh GPS pada pilihan raya akan datang, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menyokong calon tersebut.

"Tidak kira siapa calon yang GPS perkenalkan, kita mesti bekerjasama sebagai satu pasukan dan memastikan kemenangan untuk GPS," katanya. 
 

Advertisement