Anda di sini

LPPB terima lebih 50,000 permohonan RMR di Sabah

Advertisement
 Masiung (kiri) bersalaman dengan Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui (kanan) pada majlis itu. Turut kelihatan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar (dua kiri).
MESRA: Masiung (kiri) bersalaman dengan Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui (kanan) pada majlis itu. Turut kelihatan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar (dua kiri).

KOTA KINABALU: Lebih 50,000 permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) direkodkan secara atas talian oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Sabah setakat ini.

Pengerusi LPPB Sabah Datuk Masiung Banah berkata, pihak LPPB setakat ini hanya mampu menyediakan 50 unit sahaja untuk satu daerah.

Menurutnya, LPPB giat berusaha untuk memenuhi permintaan pemohon memandangkan masih ramai rakyat yang memerlukan bantuan.

Bagaimanapun pihaknya hanya mampu menyediakan jumlah berkenaan kerana LPPB juga bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri.

"Tahun ini, kita dalam proses untuk membina beberapa perumahan sebagai contoh RMR melibatkan 50 unit di daerah Kemabong, 50 di Merotai Tawau, 50 unit di Beluran dan 50 unit di daerah kecil Sukau. 

"Kita ada polisi tertentu di LPPB dan mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah layak dipertimbangkan untuk menerima RMR," katanya selepas Majlis Aidilfitri Bersama Media di sini hari ini.

Beliau turut maklum mengenai permintaan yang agak tinggi bagi permohonan RMR melibatkan rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Sehubungan itu, pihaknya memanjangkan perkara itu kepada kerajaan negeri agar ada usaha lebih untuk menambah peruntukan memandangkan keadaan ekonomi dan politik yang semakin stabil.

Dalam pada itu katanya, isu penstrukturan semula bahagian pengurusan LPPB Sabah bukanlah perkara yang berat tetapi untuk manfaat LPPB.

Menurutnya, terdapat lapan pengurus bahagian di LPPB dan ada antara mereka yang sudah lebih 10 tahun di bahagian yang sama.

"Saya rasa perlu ada sedikit perubahan supaya pengurus bahagian tidak berasa selesa di tempat mereka sendiri.

"Mereka mesti berpindah ke tempat lain dengan harapan mereka ada tekad, semangat serta idea baharu untuk diketengahkan.

"Akhirnya yang akan dapat manfaat adalah LPPB sendiri kerana kita tidak mahu mereka berasa selesa di zon sendiri," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement