Anda di sini

Dua bot ditahan langgar syarat sah lesen

Advertisement
 Salah satu bot yang dikesan telah melanggar syarat sah lesen di perairan daerah ini.
RAMPAS: Salah satu bot yang dikesan telah melanggar syarat sah lesen di perairan daerah ini.

TAWAU: Dua bot tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau selepas gagal mematuhi syarat sah lesen dalam dua tangkapan berasingan, semalam.

Kedua-dua bot itu ditahan oleh bot ronda Zon Maritim Tawau yang sedang menjalankan Ops Pluto Timur 2/2023 dan Ops Tiris.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar perairan Inderasabah pada jam 12.15 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati terdapat dua lelaki warga asing masing-masing berusia 41 dan 24 tahun bertindak selaku nakhoda dan kru bot berkenaan.

“Pemeriksaan dokumentasi bot terbabit mendapati nama nakhoda bot tiada dalam pendaftaran dan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.

“Kira-kira 15 minit selepas itu, sebuah lagi bot kargo tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas sebuah bot kargo yang sarat membawa muatan buah sawit itu mendapati seorang nakhoda lelaki warga asing berusia 37 tahun, juga gagal memaklumkan pertukaran nakhoda bot berkenaan.

Katanya, kedua-dua bot bersama muatan serta semua krew terbabit seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk disiasat lanjut.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO 1952 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002 kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

“Semua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM160,00,” katanya.

Sementara itu, Shahrizan turut menegaskan kepada komuniti maritim setempat untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi jika mendapati terdapat individu gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.

“Kami akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

  • oleh
  • Advertisement