Anda di sini

Tiada buruh paksa di Xinjiang China: Huang

Advertisement
 Huang (duduk, lima kanan) bersama tetamu kehormat lain dan para media yang hadir pada taklimat berkenaan.
ALBUM: Huang (duduk, lima kanan) bersama tetamu kehormat lain dan para media yang hadir pada taklimat berkenaan.

KOTA KINABALU: Tiada kewujudan buruh paksa di Xinjiang, China seperti yang dilaporkan oleh pihak media Barat.

Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Dr Huang Shifang berkata, Xinjiang adalah sebuah destinasi yang sangat indah terletak di Utara Barat China.

"Xinjiang adalah sebuah kawasan yang sangat besar dan menjadi pelengkap satu per enam kawasan keseluruhan China. Setiap tahun ratusan juta pelancong domestik dan antarabangsa datang ke kawasan berkenaan.

"Xinjiang menikmati ekonomi yang makmur, kestabilan sosial, kehidupan rakyatnya yang terbaik, kekayaan kebudayaan, kesatuan etnik dan keharmonian agama," katanya ketika pada Taklimat Bersama Media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Xinjiang Uygur memberikan fokus terhadap pembangunan ekonomi berkualiti tinggi dan sosial kawasan berkenaan.

Pada tahun lepas katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Xinjiang mencapai 1,912 billion yuan, berkembang sebanyak 6.8 peratus setiap tahun.

"Pembangunan kemudahan asas di Xinjiang juga kerap dinaik taraf dan tahap kemiskinan juga berjaya diatasi.

"Rakyat Xinjiang juga menikmati kebebasan beragama dan kini lebih daripada 13 juta penduduknya adalah beragama Islam," katanya.

Katanya, baru-baru ini terdapat propaganda Barat yang menuduh kerajaan China melakukan kekejaman terhadap penduduk di Xinjiang yang mana semuanya adalah fitnah semata-mata.

Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan itu tidak berasas kerana mereka tidak pernah menunjukkan bukti kesahihan dakwaan mereka.

Dalam pada itu katanya, tahun ini China dan Malaysia akan melaksanakan beberapa acara khusus bagi meraikan hubungan diplomatik yang terjalin selama 50 tahun.

"Sabah khususnya, adalah negeri terdekat dengan China dan berdasarkan sejarah hubungan Sabah dengan China sudah mencapai ribuan tahun lamanya.

"Kedua-dua wilayah ini telah menikmati hubungan erat dari segi kebudayaan dan kerjasama yang utuh.

"Beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan China-Malaysia telah mewujudkan peluang terbaik bagi kerjasama diantara China dengan Sabah," katanya.

Hadir sama Pengarah See Hua Marketing (Sabah) Sdn Bhd Wong Kee Mee, Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) Jimmy Goh serta tetamu kehormat yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement