Anda di sini

TBS kutip zakat RM30.43 juta dalam tempoh tiga bulan 2024

Advertisement
Abang Mohd Shibli merakamkan kenangan bersama orang ramai yang hadir pada Hari Bersama Pelanggan Bahagian Sibu TBS di Dewan Kompleks Islam Sibu, hari ini.
Abang Mohd Shibli merakamkan kenangan bersama orang ramai yang hadir pada Hari Bersama Pelanggan Bahagian Sibu TBS di Dewan Kompleks Islam Sibu, hari ini.

SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah mengutip zakat berjumlah RM30.43 juta bagi tempoh Januari 2024 sehingga Mac 2024.

Menurut Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, sejumlah RM25.60 juta telah diagihkan kepada asnaf-asnaf yang layak.

"Jumlah yang telah kita kutip ini telah kita dapat agihkan kepada mereka yang memerlukan dan mereka yang terkesan.

"Kebanyakan bantuan kita memang dikhususkan kepada mereka di bawah kategori asnaf, secara umumnya memang mereka di bawah B40," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Hari Bersama Pelanggan Bahagian Sibu TBS di Dewan Kompleks Islam Sibu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa TBS telah mengutip zakat berjumlah RM141 juta bagi tahun 2023.

Jelasnya, zakat ini diagihkan kepada penerima menerusi empat program utamanya iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam, Program Memantapkan Kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.

Sementara itu, mengenai Hari Bersama Pelanggan Bahagian Sibu, beliau percaya kehadiran pada program tersebut boleh mencecah sehingga 1,500 orang.

"Program ini kami adakan setiap tahun sebagai cara untuk menghargai para pelanggan yang telah banyak membantu kami, khususnya bagi pejabat kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan juga organisasi swasta yang telah membantu kami dalam usaha mendapatkan kutipan melalui zakat potongan gaji.

"Selain itu, mereka juga memberi kerjasama dalam mengenal pasti orang-orang yang berhak menerima bantuan," katanya.

Hadir sama Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran Sulaiman Mahili, Timbalan Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran Iskandar Allan, Timbalan Ketua Sektor Operasi Ustaz Mohd Yusree Mohd Zain dan Ketua TBS Bahagian Sibu Azliyani Jasini.

  • oleh
  • Advertisement