Anda di sini

SME Bank pemangkin pertumbuhan ekonomi PMKS 

Advertisement
ARIA PUTERA
ARIA PUTERA

KOTA KINABALU: SME Bank Malaysia terus menjadi pemangkin bagi Pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS), seiring dengan visi kerajaan untuk mewujudkan agenda Ekonomi MADANI dan menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Kerajaan menekankan syarikat milik kerajaan, khususnya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bukan sahaja berperanan dalam mencapai objektif komersial dan pelaburan tetapi juga sebagai ejen tanggungjawab sosial.

Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Malaysia Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, SME Bank terus komited kepada amalan etika semasa berusaha untuk kemajuan, reformasi institusi, dan harmoni sosial.

Menurutnya, seiring dengan objektif itu, pihaknya meletakkan matlamat untuk memperkasakan PMKS dan memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan lestari.

"Sehingga kini, kami menyokong lebih dari 23,880 PMKS dan menyediakan bantuan kewangan melebihi RM47 bilion. Kami akan terus memenuhi mandat yang diberikan untuk membangun dan memacu pertumbuhan PMKS serta meningkatkan inisiatif dalam menyumbang kepada kejayaan Ekonomi MADANI.

"Pada terasnya, SME Bank mengamalkan model pengurusan tadbir urus yang berkesan melalui kepemimpinan strategik dan meningkatkan takat kerangka pengurusan risiko, memastikan persekitaran yang selamat serta sokongan pembiayaan dan pembangunan kapasiti yang optimum bagi PMKS untuk berkembang dengan meluas.

"Dengan menegakkan piawaian pematuhan yang ketat, SME Bank mendorong ketelusan dan akauntabiliti, meningkatkan keyakinan PMKS terhadap integriti sistem kewangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata, komitmen itu disokong kuat dengan pengiktirafan anugerah berprestij, Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah (AIGA 2022) dan Pensijilan MS ISO 37001:2016 ABMS.

Menurutnya, SME Bank memimpin inisiatif transformasi untuk memperluas akses bagi PMKS bumiputera kepada sumber kewangan dan peluang global.

Katanya, ia termasuk memperluas usaha melintasi sempadan seperti program padanan perniagaannya, SME Bank XCESS, Business Exports Programme (BEP), dan Program Pembangunan Kapasiti & Keupayaan Vendor (PPKV).

"Usaha-usaha ini dapat memperkasa PMKS untuk terlibat dalam pasaran global, memupuk kemakmuran ekonomi, dan memperkukuh daya saing Malaysia di arena antarabangsa.

"SME Bank turut memimpin program komuniti yang memberi impak seperti iTEKAD Ishraf dan iTEKAD Penjana Komuniti yang bertujuan memperkasakan usahawan kurang bernasib baik dan memupuk pembangunan komuniti lestari dengan peruntukan sebanyak RM11.3 juta, selaras dengan komitmen kepada tanggungjawab sosial korporat.

"Ia melalui anak syarikat milik penuh SME Bank, The Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR), yang berperanan sebagai pusat latihan keusahawanan dengan menawarkan sokongan dan bimbingan yang direka khusus kepada lebih 80,000 peserta program untuk membantu perjalanan keusahawanan mereka sejak penubuhannya pada 2013," jelasnya.

Beliau berkata, dengan komitmen kepada keterangkuman, SME Bank Malaysia menawarkan program pembangunan usahawan yang dikhususkan dan perkhidmatan sokongan kepada PMKS yang mendapat perkhidmatan maupun yang belum tersedia sepenuhnya. 

Selain itu katanya, dengan mandat proaktif dan reaktif, SME Bank tetap tangkas dalam menangani keperluan PMKS yang berkembang pada peringkat perniagaan yang berbeza, memastikan inisiatif mereka kekal responsif dan berkesan.

"SME Bank menyokong sepenuhnya inisiatif dan rangka kerja yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. Komitmen yang teguh dari SME Bank terhadap kepentingan PMKS mencerminkan kesungguhan dalam membina ekonomi yang kukuh dan inklusif. 

"Sokongan melalui piawaian etika dan kemudahan pertumbuhan serta pembangunan PMKS, SME Bank Malaysia secara aktif sedia untuk bekerjasama untuk mendorong kemajuan 'Ekonomi MADANI' dan seterusnya Malaysia ke arah masa depan dengan kemakmuran dan kejayaan bersama," katanya. 
 

Advertisement