Anda di sini

Projek pembinaan ICQS Serikin dijangka bermula tahun ini: Lee

Advertisement
Lee diiringi Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono (tiga kanan) semasa tiba di PLBN Jagoi Babang hari ini. - Gambar Chimon Upon
Lee diiringi Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono (tiga kanan) semasa tiba di PLBN Jagoi Babang hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Projek pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin bernilai RM50 juta dijangka bermula tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin.

Menurutnya, projek itu dibiayai oleh kerajaan persekutuan dan pelan reka bentuk kompleks yang terletak di sebidang tanah seluas 28 hektar di Serikin itu masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Bagaimanapun, kita harap ICQS Serikin dapat memulakan pembinaan tahun ini dan kini kita menunggu pelan bangunan itu untuk dimuktamadkan.

“Kita menjangkakan kompleks ICQS ini siap dalam tempoh dua tahun sebaik kerja-kerja pembinaan bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Jagoi Babang yang baru siap di Kalimantan Barat, Indonesia hari ini.

Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Henry Harry Jinep dan Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono.

Lee menambah, projek itu dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan tender akan dibuka sebaik sahaja KDN melulus dan mengesahkan pelan bangunan bagi kompleks tersebut.

“Buat masa sekarang, jalan sepanjang dua kilometer menghubungkan Serikin ke Jago Babang di Kalimantan Barat kini sedang dibina untuk memudahkan lagi perhubungan antara Sarawak dan Indonesia khasnya melalui ICQS ini,” jelasnya.

Lee berkata, beliau telah menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai dan daripada rakan sejawatannya di Indonesia mengenai kemajuan pembinaan kompleks ICQS Serikin yang masih belum dimulakan.

“Oleh itu, saya telah memberi arahan kepada semua agensi terlibat untuk menyegerakan pembinaan kompleks ICQS Serikin supaya kerja-kerja dapat dimulakan secepat mungkin pada tahun ini,” jelasnya.

Berkenaan lawatan itu,  beliau melahirkan rasa kagum dengan reka bentuk moden PLBN Jagoi Baban yang turut dilengkapi teknologi canggih, selain laluan khas untuk pelbagai jenis kenderaan bagi memudahkan pergerakan lancar merentasi sempadan kedua-dua negara.

“Saya telah meminta pegawai saya untuk mengkaji kemudahan yang terdapat di pos sempadan Indonesia yang baru siap ini yang baru siap ini.

“Semoga kita juga dapat menyediakan kemudahan yang sama di ICQS Serikin,” katanya.

Advertisement