Anda di sini

Pendapatan MDS memberangsangkan tahun lepas

Advertisement
ALI ADAM
ALI ADAM

SEMPORNA: Majlis Daerah Semporna (MDS) berada di tahap yang memberangsangkan apabila berjaya memperoleh pendapatan melebihi sasaran yang ditetapkan tahun lalu.

Pegawai Eksekutif MDS, Ali Adam Haji Hamjah berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen semua pegawai dan kakitangan pengurusan MDS yang berusaha menjalankan tugas dengan baik.

Katanya, kebanyakan pendapatan yang diperoleh oleh MDS itu datang daripada aktiviti pelancongan dan percukaian di daerah ini.

“Kita tidak nafikan kepesatan aktiviti pelancongan di daerah ini adalah penyumbang terbesar hasil pendapatan MDS.

“Tahun lepas, MDS mencatatkan pendapatan yang sangat memberangsangkan dan ia sangat positif terutamanya untuk membuat perancangan serta perkhidmatan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Daerah Semporna (MDS) yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, MDS juga sudah membuat perancangan untuk mendapatkan hasil yang lebih tinggi berbanding tahun lepas.

“Pihak pengurusan MDS menjangkakan akan memperoleh sehingga RM15 juta tahun ini memandangkan sektor pelancongan yang semakin berkembang di Semporna.

“Saya sangat bersyukur, dengan perkembangan sektor pelancongan membolehkan MDS terus memperoleh pendapatan dan memberikan perkhidmatan terbaik untuk penduduk di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Ali Adam berkata, pihaknya juga akan sentiasa berhemah dalam membelanjakan hasil-hasil yang diperoleh.

“Bagaimanapun, selari dengan perkembangan pesat sektor pelancongan di Semporna, kita juga mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat dan pelawat di daerah ini.

“Justeru, dalam mengamalkan sikap berjimat-cermat, perkhidmatan kita juga perlu dipertingkatkan bagi kebaikan penduduk dan daerah ini,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi MDS merangkap Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew dan kakitangan MDS.

  • oleh
  • Advertisement