Anda di sini

JKKK digalak rebut peluang perkasa aktiviti ekonomi melalui geran SejaTi MADANI

Advertisement
(Duduk dari kiri) Leong, Stephen, Anyi, Jackline dan Norfitri bergambar bersama peserta selepas taklimat.
(Duduk dari kiri) Leong, Stephen, Anyi, Jackline dan Norfitri bergambar bersama peserta selepas taklimat.

JKKK digalak rebut peluang perkasa aktiviti ekonomi melalui geran SejaTi MADANI

KANOWIT: Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang layak di Kanowit digalakkan merebut peluang memperkasa aktiviti ekonomi mereka dengan memohon geran yang disediakan di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Sarawak (SDO) Zon Sibu Norfitri Amin berkata program itu menyediakan geran sehingga RM100,000 untuk pelaksanaan aktiviti ekonomi di bawah lima sektor tumpuan.

“SejaTi MADANI dibuka untuk permohonan bermula 25 Mac hingga 30 September.

“Di bawah program itu, JKKK yang layak boleh memohon geran untuk aktiviti ekonomi di bawah sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

“Hanya JKKK yang berdaftar dengan pejabat daerah dan mempunyai sijil pendaftaran yang sah boleh memohon SejaTi MADANI,” katanya pada taklimat SejaTi MADANI kepada 64 JKKK yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana di Dewan Pejabat Daerah Kanowit pada Isnin.
 
Kanowit merupakan lokasi taklimat kelima yang dijalankan oleh SDO Zon Sibu selepas Song, Kapit, Bukit Mabong dan Belaga.

Norfitri berkata, setiap JKKK boleh memohon lebih daripada satu aktiviti ekonomi dalam satu permohonan asalkan jumlah geran tidak melebihi RM100,000.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kanowit Jackline August @ August Jahar dalam ucapannya berkata hanya 64 daripada 348 JKKK di Kanowit mempunyai sijil pendaftaran yang sah.

“Permohonan pendaftaran 84 JKKK telah dikemukakan kepada Pejabat Residen Sibu untuk kelulusan manakala 200 JKKK masih belum berdaftar,” jelasnya.

Mengenai perkara yang sama, Anyi meminta ketua masyarakat mengenal pasti JKKK yang tidak berdaftar dan membantu mempercepatkan proses pendaftaran supaya mereka tidak terlepas daripada menikmati faedah SejaTi MADANI.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Perpaduan Negara Dr Stephen William dan Pemanca Leong Khing Hee.

  • oleh
  • Advertisement