Anda di sini

EPL: Man City kekalkan saingan hebat

Advertisement

Beri tekanan ke atas Arsenal selepas menangani cabaran berani daripada Forest

Pemain pertahanan Nottingham Forest Gonzalo Montiel (kiri) menanduk bola pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Nottingham Forest dan Manchester City di The City Ground di Nottingham, England, kelmarin. — Gambar AFP
Pemain pertahanan Nottingham Forest Gonzalo Montiel (kiri) menanduk bola pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Nottingham Forest dan Manchester City di The City Ground di Nottingham, England, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Manchester City mengekalkan saingan ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal pada Ahad selepas menangani cabaran berani daripada Nottingham Forest selepas Arsenal menewaskan kelab jiran, Tottenham Hotspur.

Saingan tiga penjuru kejuaraan liga kini sudah  menjadi saingan dua penjuru di antara City dan Arsenal, yang berazam untuk menebus kesilapan mereka di akhir musim lepas.

Arsenal mengumpul 80 mata dengan baki tiga perlawanan, satu mata di hadapan City tetapi City kurang satu perlawanan dan masih kekal sebagai pilihan untuk muncul juara.

Arsenal mendahului 3-0 pada perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur pada perlawanan awal sebelum terselamat kebangkitan lewat dan menang 3-2.

City, walaupun tidak bermain di tahap terbaik, menembusi keazaman Forest yang bersaing mengelak penyingkiran menerusi gol Josko Gvardiol dan Erling Haaland.

Gvardiol membuka jaringan apabila menanduk masuk satu  tendangan sudut Kevin De Bruyne tidak lama selepas rehat dan Haaland menyempurnakan satu lagi umpanan De Bruyne pada minit ke-71 untuk kedudukan 2-0.

Tetapi Forest, yang kekal satu mata di atas zon penyingkiran dengan baki tiga perlawanan, pastinya menyalahkan diri mereka sendiri kerana mensia-siakan beberapa peluang, termasuk dua peluang keemasan dari Chris Wood.

Pengurus City, Pep Guardiola, berasa lega di mana pasukannya pulang dengan kemenangan tetapi memberi amaran terhadap sikap terlalu yakin dalam beberapa minggu terakhir ketika mereka memburu dua kejuaraan domestik musim ini.

Dia tidak percaya pasukannya mampu untuk tercicir mata ketika memburu rekod kejuaraan liga yang keempat berturut-turut, kali pertama untuk kelab dalam era Liga Perdana Inggeris.

“Kami lebih suka mereka (Arsenal) tewas, kami tidak dapat mengawal apa yang mereka lakukan, mereka mendapatkan keputusan yang baik,” kata Guardiola, di mana pasukannya kini belum tewas 31 perlawanan dalam semua pertandingan.

“Baki empat perlawanan, saya tidak fikir kami boleh tercicir sebarang mata dan kami  tahu apa  yang harus kami lakukan.”

Sebahagian daripada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Tottenham Hotspur dan Arsenal di Stadium Tottenham Hotspur di London, kelmarin. — Gambar AFP
Sebahagian daripada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Tottenham Hotspur dan Arsenal di Stadium Tottenham Hotspur di London, kelmarin. — Gambar AFP

Forest, yang dibimbing Nuno Espirito Santo, diselubungi penyingkiran dan terdesak untuk sekurang-kurangnya mengembalikan satu mata dari rayuan potongan empat mata kerana melanggar peraturan kewangan Liga Perdana.

Arsenal tahu jika City memenangi kesemua baki perlawanan, mereka tidak akan dapat dipintas tetapi Arsenal juga tidak menunjukkan sebarang gemuruh seperti musim lepas.

Anak buah Mikel Arteta menyepikan penyokong di Stadium Tottenham Hotspur dengan tiga gol sebelum rehat.

Gol sendiri Pierre-Emile Hojbjerg meletakkan Arsenal di hadapan sebelum Bukayo Saka dan Kai Havertz melengkapkan jaringan.

Cristian Romero dan Son Heung-min merapatkan kedudukan buat Tottenham selepas rehat untuk memastikan baki perlawanan mendebarkan untuk kedua-dua pasukan tetapi pasukan pelawat berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat.

Arteta mendedahkan dia mengharapkan tuah pada minit akhir ketika menentang Spurs.

“Saya berdoa,” katanya. “Ada begitu ramai pemain Spurs dalam kotak penalti kami. Ia perlawanan yang sangat emosional. Kami terpaksa bekerja-keras dan saya sangat gembira dengan cara pasukan melakukannya.”

Kekalahan buat Tottenham menjejaskan lagi peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Mereka kekal tujuh mata di belakang pasukan di tangga keempat, Aston Villa, walaupun kurang dua perlawanan berbanding Villa.

Liverpool kelihatan selesa di hadapan saingan kejuaraan liga beberapa minggu yang lalu tetapi mereka hanya menang sekali dari lima perlawanan terakhir dan pengurusnya, Jurgen Klopp hampir pasti akan menamatkan kariernya di Liverpool dengan hanya satu kejuaraan – Piala Liga Inggeris.

Pada perlawanan lain, Bournemouth menewaskan Brighton 3-0 menerusi gol Marcos Senesi, Enes Unal dan Justin Kluivert untuk mencipta rekod mata baharu kelab dalam Liga Perdana. — AFP

Advertisement