Anda di sini

Bomba berjaya padam kebakaran longgokan tayar di kilang kayu

Advertisement
Api marak memusnahkan longgokan tayar terpakai di sebuah kilang kayu di Sungai Bidut, Sibu pada malam Isnin. - Gambar JPBM
Api marak memusnahkan longgokan tayar terpakai di sebuah kilang kayu di Sungai Bidut, Sibu pada malam Isnin. - Gambar JPBM

SIBU: Sebuah kilang kayu di Jalan Ting Sing, Sungai Bidut dekat sini berjaya diselamatkan daripada mengalami kemusnahan lebih serius susulan kebakaran longgokan tayar terpakai malam Isnin.

Tindakan pantas dua pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sibu Sentral berhasil mengawal kebakaran itu dalam tempoh 29 minit setelah api berjaya dikawal pada jam 9.57 malam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.08 malam.

"Dua pasukan bomba dari BBP Sungai Merah dan BBP Sibu dengan kekuatan 27 anggota bomba serta jentera masing-masing telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan longgokan tayar terpakai yang berada di bahagian dalam dan luar kilang kayu yang sedang marak terbakar.

"Kebakaran juga telah merebak ke timbunan kayu yang telah siap diproses yang berada berhampiran longgokan tayar tersebut, namun kita berjaya bertindak mengawal api dalam tempoh setengah jam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Andy, keluasan kawasan yang terbakar hanya sembilan peratus iaitu 260 meter persegi dari keseluruhan saiz bangunan 3,000 meter persegi.

"Pihak bomba telah bertindak menggunakan kaedah ofensif dengan kesemua nozel pam masuk ke dalam bangunan untuk membuat pemadaman dan mengawal kebakaran daripada merebak ke struktur bangunan.

"Akhirnya api berjaya dikawal dalam tempoh 29 minit selepas pancutan pertama dibuat dan seterusnya anggota bomba membantu mengalihkan longgokan tayar bagi memudahkan pancutan air masuk ke bahagian punca api dalam longgokan tayar," katanya.

Andy berkata, jentera angkat susun kilang juga digunakan untuk mengalihkan timbunan kayu bagi memudahkan lagi operasi pemadaman sehingga api dipadamkan sepenuhnya.

Operasi ditamatkan pada jam 11.50 malam.

Tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden ini dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Advertisement