Anda di sini

Ba' Kelalan memerlukan balai bomba

Advertisement
Azman (empat kiri) melayani tetamu yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri BBP Lawas baru-baru ini.
Azman (empat kiri) melayani tetamu yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri BBP Lawas baru-baru ini.

LAWAS: Ba' Kelalan memerlukan sebuah balai bomba bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan pergunungan itu, selain memudahkan dan melancarkan lagi operasi penyelamatan dan kes kecemasan lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Azman Ibrahim berkata, kedudukan Ba' Kelalan yang terletak kira-kira lebih 100 kilometer dari bandar Lawas yang menggunakan laluan berbatu, menyukarkan operasi penyelamatan sekiranya berlaku kes kebakaran di kawasan luar bandar itu.

Katanya, selain faktor geografi, taburan penduduk berselerak khususnya di kawasan luar bandar itu dan mengambil kira risiko lain seperti terdapatnya bangunan kerajaan, sekolah, klinik dan perkampungan penduduk pembinaan balai baharu amat diperlukan.

"Kawasan Ba' Kelalan merupakan kawasan jagaan Lawas, walau bagaimanapun jarak dari BBP Lawas agak jauh dengan jarak lebih 100 kilometer.

"Terdapat banyak risiko di kawasan tersebut kerana terdapat banyak bangunan kerajaan, kompleks Pos Sempadan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), sekolah, klinik dan kawasan perkampungan.

"Insya-Allah kita akan memohon ataupun mengambil data risiko untuk dimajukan ke ibu pejabat untuk cadanglah pembinaan sebuah balai," katanya.

Azman berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran BBP Lawas, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, BBP Lawas mempunyai sebuah Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ba' Kelalan yang sentiasa bersedia setiap masa menangani sebarang kes kebakaran dan kecemasan di kawasan pergunungan itu.

Katanya, PBS Ba' Kelalan juga bertindak menjadi mata dan telinga dan menjadi pasukan terawal bertindak untuk melakukan operasi penyelamatan sementara menunggu bantuan dan operasi daripada anggota BBP Lawas tiba di Ba' Kelalan.

Kebiasaannya katanya, anggota BBP Lawas akan mengambil masa sekitar empat hingga lima jam untuk sampai ke Ba' Kelalan menggunakan laluan berbatu dan bergantung kepada faktor cuaca.

Advertisement