Anda di sini

Rakyat hargai komitmen Robert bangunkan Bingkor

Advertisement
 Robert (tengah) mengabadikan gambar kenangan bersama legasi Aki Tingadon di hadapan bangunan Tomuan Aki Tingadon.
ALBUM: Robert (tengah) mengabadikan gambar kenangan bersama legasi Aki Tingadon di hadapan bangunan Tomuan Aki Tingadon.


KENINGAU: Masyarakat di kawasan Bingkor memuji usaha wakil rakyat, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik kerana telah membawa kemajuan yang begitu ketara di Bingkor.


Dalam merencanakan pembangunan, Robert bukan sekadar membawa pembangunan infrastruktur tetapi juga berusaha mengembalikan nostalgia dengan menamakan bangunan tapak tamu Pekan Bingkor sebagai Tomuan Aki Tingadon bagi mengenang legasi mendiang Aki Tingadon.


Salah seorang anak mendiang, Atamah Tingadon menyifatkan Robert sebagai seorang wakil rakyat yang begitu prihatin kerana bekerja keras untuk membangunkan kawasan Bingkor bagi membolehkan rakyat dikawasan itu menikmati pelbagai kemudahan, dan sikap itu wajar dijadikan contoh.


"Saya berterima kasih kepada ADUN Bingkor kerana beliau amat komited dalam membangunkan kawasan ini untuk manfaat rakyat, " katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Gabungan Mukim Bingkor dan Tuntumulud baru-baru ini.


Seorang cucu kepada mendiang, Helvin Ribus berkata, keprihatinan wakil rakyat Bingkor telah memberi impak baharu kepada kawasan itu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden sesuai keperluan rakyat.


"Salah satu pembangunan bermakna untuk kemudahan rakyat adalah pembinaan bangunan Tomuan Aki Tingadon yang memberi ruang selesa kepada penduduk untuk menjalankan perniagaan dan jualan," katanya.


Sementara itu, seorang pesara guru Alexsius Tingadon melihat pembangunan di kawasan itu mampu melahirkan generasi yang berkualiti khususnya pelajar sekolah kerana mereka telah disediakan pelbagai kemudahan asas untuk keselesaan.


Katanya, jika dibandingkan suatu ketika dahulu Bingkor masih ketinggalan dari aspek pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, klinik kesihatan, sekolah dan kedai, kini semua kemudahan itu telah lengkap dan mudah untuk rakyat menjalani rutin kehidupan dengan selesa.


"Atas usaha wakil rakyat Bingkor, saya harap pembangunan-pembangunan yang berterusan akan dapat melahirkan lebih ramai insan berkualiti agar Bingkor terus membangun di masa akan datang, " katanya.


Seorang guru di sebuah sekolah menengah dekat sini, Parigu Tingadon turut memuji usaha Robert kerana sungguh berdedikasi menjalankan amanah rakyat dan beliau mengambil peluang untuk mengucapkan berbanyak terima kasih atas khidmat baktinya.


Jelasnya, Robert telah memperlihatkan kesungguhan yang ketara sesuai slogannya ‘Bingkor Membangun Bersama Rakyat’ bagi memastikan segala kemudahan dan keperluan asas untuk rakyat terlaksana sekaligus membawa 'keceriaan' suasana di kawasan Bingkor.


“Saya berharap beliau terus komited dalam tugas sebagai wakil rakyat dan segala usaha dan perancangan beliau (Robert) dapat membantu Bingkor melahirkan generasi yang berdaya saing dan lebih profesional, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement