Anda di sini

Penunggang motosikal maut dilanggar kereta

Advertisement
 Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
NAHAS: Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.

SEMPORNA: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 21 Jalan Semporna-Tawau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa lelaki warga asing berusia lingkungan 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintendan Fauzi Abd Kadir berkata, kemalangan membabitkan antara sebuah kereta dengan motosikal.

Katanya, pemandu kereta seorang penjawat awam wanita berusia lingkungan 20 tahun dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Semporna.

“Mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau dan sebaik tiba di lokasi, kereta terbabit hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum berlaku perlanggaran.

“Akibat daripada itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Fauzi meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021.

“Orang ramai juga boleh Balai Polis Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Semua pengguna jalan raya khususnya di daerah ini dinasihatkan supaya memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati di kawasan kerap berlaku kemalangan pada musim hujan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement