Anda di sini

Operasi bersepadu terhadap rabies di Kuching bukan untuk menakai anjing

Advertisement
DR NICHOLAS

KUCHING: Orang ramai harus faham bahawa operasi bersepadu terhadap rabies yang sedang dijalankan di bandar raya ini bukan bertujuan untuk menakai (cull) anjing, kata Dr Nicholas Jenek.

Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak itu berkata, operasi berkenaan sebaliknya bertujuan menguatkuasakan undang-undang berkaitan pemilikan anjing di Kuching.

"Kami bukan hendak menakai mana-mana anjing atau melakukan penakaian besar-besaran. Perkara yang kami lakukan hari ini adalah untuk memeriksa sama ada anjing telah divaksin dan dilesenkan dengan betul oleh pemiliknya atau tidak.

“Kami juga hendak mengetahui sama ada, ada terdapat individu yang digigit anjing atau pernah melihat anjing terbiar yang menunjukkan perangai ganas,” katanya ketika ditanya pemberita hari ini.

Beliau memaklumkan demikian susulan anggota pasukan penguat kuasa disoal mengenai keberadaan pasukan operasi bersepadu di kawasan kejiranan mereka.

Pasukan penguat kuasa memvaksin anjing dalam operasi tersebut. - Gambar Roystein Emmor
Pasukan penguat kuasa memvaksin anjing dalam operasi tersebut. - Gambar Roystein Emmor

Dr Nicholas juga mendedahkan bahawa punca orang ramai sangat ingin tahu mengenai kehadiran pasukan penguat kuasa tersebut adalah kerana terdapat siaran di media sosial yang mengatakan bahawa pasukan operasi bersepadu kini sedang turun padang untuk menakai anjing.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa tidak ada aktiviti penakaian anjing, jadi pemilik anjing tidak perlu risau mengenai perkara itu. 

”Apa yang mereka perlu bimbang ialah sama ada haiwan peliharaan mereka diberi vaksin dan lesen dengan betul, selain berada dalam keadaan sihat," katanya.

Operasi bersepadu itu memasuki hari pertama semalam dan akan dijalankan selama empat hari di sekitar kawasan bandar raya Kuching.

Pada hari pertama operasi, pasukan operasi bersepadu berada di kawasan Tabuan Jaya untuk memeriksa anjing di sana dan menerusinya, mana-mana pemilik anjing yang didapati masih belum memberi haiwan peliharaan mereka sebarang vaksinasi atau pelesenan yang sewajarnya akan dikompaun atau diberi amaran.

“Tiada sebab bagi anjing di kawasan ini tidak diberi vaksin dan dilesenkan dengan betul, kerana kami telah memberi mereka masa yang mencukupi, malah telah mengumumkan serta menyediakan kemudahan untuk berbuat demikian baru-baru ini.

"Justeru, jika kami menemui mana-mana anjing di kawasan ini yang mempunyai pemilik tetapi mendapati ia tidak diberi vaksin misalnya, kami akan menguatkuasakan undang-undang ke atas pemilik anjing itu," kata Dr Nicholas.

Setakat ini, tiada jumlah tepat kompaun yang dikeluarkan pada hari pertama. Operasi akan diteruskan esok di kawasan seliaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Turut serta dalam operasi bersepadu yang diketuai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu ialah anggota Jabatan Kesihatan, DVS, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), MPP, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan polis.

Operasi itu dijalankan mulai hari ini hingga esok, dan dari 2 hingga 3 Mei, dengan pasukan penguat kuasa dijadualkan melawat taman perumahan bagi memastikan semua anjing peliharaan divaksin dan dilesenkan dengan betul.

Advertisement