Anda di sini

Karnival Kebudayaan Durin 2024 capai objektif penganjuran: Sempurai

Advertisement
Sempurai (empat kiri) menerima cenderamata daripada Teo selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Karnival Kebudayaan Durin 2024 di Sibu, malam tadi.
Sempurai (empat kiri) menerima cenderamata daripada Teo selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Karnival Kebudayaan Durin 2024 di Sibu, malam tadi.

SIBU: Penganjuran Karnival Kebudayaan Durin 2024 telah mencapai objektifnya, demikian kata Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai.

Beliau berkata, karnival kali ini selama tiga hari berlangsung adalah yang paling meriah dan mendapat kunjungan tinggi setiap malam. 

"Dari segi pencapaian objektifnya pula, saya dengan bangganya mengatakan yang kita telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan oleh pihak majlis, iaitu kita mahukan karnival ini dijadikan sebagai platform bagi meningkat dan merancakkan ekonomi setempat di pekan Durin ini dengan pembukaan gerai-gerai di tapak karnival. 

"Selain daripada itu, karnival ini juga telah berjaya merancakkan sektor pelancongan tempatan kita dengan kehadiran peserta dari dalam dan luar Sarawak yang dapat dilihat dengan kehadiran ramai pengunjung daripada seluruh kawasan Sibu, Kapit, Julau, Bintulu dan seluruh Sarawak serta dengan kehadiran peserta Pelumbaan Bot Kawalan Jauh dari Thailand, Brunei Darussalam, Indonesia dan dari Semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Karnival Kebudayaan Durin 2024 di pentas utama Tebingan Pekan Durin dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, wakil Residen Bahagian Sibu Maria Nadja Jimmy, Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei dan Pengerusi Pengelola Karnival Kebudayaan Durin 2024 Kaunselor Datuk Teo Boon Siew.

Menurutnya lagi, semasa majlis perasmian karnival pada Sabtu lalu, tidak kurang daripada 4,000 orang telah berkunjung ke tapak karnival di mana Regata Mini dimulakan untuk hari pertama pelumbaan.

Apa yang pasti, ujarnya, karnival ini bukan hanya berjaya daripada segi penganjuran dan kehadiran pengunjung, malahan berjaya menyatukan masyarakat setempat dari pelbagai kaum dan bangsa di dalam suasana yang aman dan tenteram dalam bersama-sama memeriahkannya. 

"Inilah sebenarnya matlamat yang kita di pihak majlis sasarkan di dalam penganjuran Karnival Kebudayaan Durin 2024. 

"Kejayaannya tidak datang dengan mudah tanpa kerjasama semua pihak baik daripada Jawatankuasa Induk, MDLBS, komuniti Durin, penaja, wakil rakyat dan semua agensi-agensi yang terlibat menjayakan karnival ini," tegasnya.

Sempurai turut merakamkan penghargaannya terhadap Kementerian Kementerian Pelancongan, Industri kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia kerana telah menyalurkan dana untuk penganjuran karnival tersebut.

  • oleh
  • Advertisement