Anda di sini

Jengkaut diguna selamatkan pengendali mesin cerucuk 

Advertisement
Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kokpit mesin cerucuk.
Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kokpit mesin cerucuk.

KUCHING: Pasukan keluaran operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya menggunakan sebuah jengkaut bagi membantu mengeluarkan seorang mangsa tersepit dalam sebuah kokpit mesin cerucuk (piling machine) yang tumbang berhampiran Masjid Kampung Pinang Jawa, Gita, di sini hari ini.

Komander Operasi Zainuddin Ngatdemon berkata, jentera berat itu diperlukan memandangkan tindakan awal untuk mengeluarkan mangsa yang berusia 33 tahun menggunakan 'rescue tools' tidak berhasil.

"Untuk makluman, BBP Petra Jaya terima panggilan pada jam 2.28 petang di mana terdapat satu kejadian mesin terbabit telah tumbang.

"Terdapat seorang mangsa iaitu pengendali jentera berkenaan telah tersepit di bahagian kokpit setelah jentera berat itu tumbang," katanya ketika ditemui media di lokasi.

Zainuddin berkata, ketika pihak bomba tiba di lokasi, lelaki itu masih dalam keadaan sedar.

"Untuk tindakan awal dan mengikut prosedur operasi standard (SOP), anggota cuba keluarkan mangsa guna 'special tool'.

"Malangnya tindakan itu gagal dan seterusnya kita memohon bantuan jentera berat iaitu jengkaut untuk membantu mengeluarkan mangsa," ujarnya sambil menambah, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4.16 petang sebelum diserahkan kepada pihak perubatan.

Mengulas lanjut, cabaran utama dalam operasi itu ialah keadaan jentera itu sendiri yang memerlukan kaedah yang lebih drastik untuk menyelamatkan mangsa.

Selain itu, usaha mengeluarkan mangsa perlu lebih berhati-hati memandangkan mangsa mengalami kecederaan.

"Keadaan mangsa itu sendiri sedang cedera antara cabarannya dan kita perlu lakukan penyelamatan dengan berhati-hati agar mangsa dapat dikeluarkan.

"Mangsa bagaimanapun dapat dikeluarkan dengan selamat dan mangsa masih sedar ketika berjaya dikeluarkan dari kokpit tersebut," katanya.

Selesai menyelamatkan mangsa tersepit, operasi ditamatkan jam 4.10 petang.

Turut membantu di lokasi ialah pihak polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement