Anda di sini

Jadikan Sarawak penyumbang kedua tertinggi KDNK Malaysia

Advertisement



Ketika ini Sarawak penyumbang ketiga terbesar selepas mengatasi Johor, hanya di belakang Selangor, Kuala Lumpur: Premier

Abang Johari (lima kiri) mengetuai yang lain memotong lemang sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran PBB. - Gambar Pejabat Premier Sarawak
Abang Johari (lima kiri) mengetuai yang lain memotong lemang sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran PBB. - Gambar Pejabat Premier Sarawak

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhasrat menjadikan Sarawak penyumbang kedua tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebelum Pilihan Raya Negeri yang akan datang.

Perkara itu dinyatakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sebuah hotel di sini, malam Ahad.

Abang Johari berkata ketika ini Sarawak merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada KDNK negara selepas mengatasi Johor dan hanya di belakang Selangor dan Kuala Lumpur.

"Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada  2021, tiga negeri teratas itu menyumbang 60.8 peratus kepada KDNK Malaysia, didahului Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak," katanya dalam Facebook rasminya 'Sarawakku' hari ini.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia,  Selangor mendahului dengan bahagian sebanyak 25.1 peratus atau RM314.4 bilion (2020: RM291.9 bilion).

Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu 23.9 peratus atau RM299.8 bilion (2020: RM304.0 bilion) dan Sarawak 11.8 peratus bersamaan RM147.9 bilion (2020: RM107.5 bilion.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia Apurva Sangshi dalam ciapannya di X menyatakan bahawa tiga penyumbang utama kepada KDNK Malaysia Selangor (25.54 peratus), Kuala Lumpur (16.25 peratus) dan Sarawak (9.75 peratus) manakala Johor berada di tempat keempat (9.74 peratus).

“Kita kena yakin dan mengatur strategi supaya KDNK kita tinggi dan saya yakin kita mampu mengatasi Selangor.

"Sama ada kita boleh mencapainya atau tidak, terpulang kepada kita untuk mengatur strategi ekonomi kita dan inilah yang kita sasarkan sebelum Pilihan Raya Negeri akan datang," katanya.

Beliau menambah, usaha untuk mengatur susun ekonomi dilakukan untuk membuktikan kepada rakyat Sarawak bahawa kepimpinan kerajaan GPS berada di landasan yang betul dalam membangunkan Sarawak.

Abang Johari yang juga presiden PBB berkata parti itu juga optimis dalam membentuk pemimpin muda bagi meneruskan legasi membangunkan Sarawak pada masa depan.

“Kita perlu melatih barisan pemimpin seterusnya untuk melahirkan pemimpin yang kuat dan relevan pada masa depan. Tidak menghadapi masalah seperti politik wang dan sebagainya.

“Tetapi setakat ini, kita dapat menguruskan parti dengan baik dan mampu memberi ruang kepada golongan muda untuk memimpin pada masa depan.

“Keadaan sentiasa berubah, landskap politik juga akan berubah dengan sektor ekonomi diurus dengan cara baharu,” tegasnya.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Presiden PBB yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Naib Presiden Kanan PBB yang juga Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof dan Pengerusi Tetap PBB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah.

Advertisement