Anda di sini

Generasi muda perlu rebut peluang dalam industri makanan: Amish

Advertisement
 Amisah merakamkan gambar kenangan bersama pihak penganjur sempena majlis itu.
KENANGAN: Amisah merakamkan gambar kenangan bersama pihak penganjur sempena majlis itu.


RANAU: Generasi muda diminta merebut peluang melibatkan diri dalam industri pertanian yang bukan sahaja menjanjikan pendapatan lumayan tetapi juga membantu keterjaminan bekalan makanan negara.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata, masyarakat juga seharusnya menerapkan minda kepada golongan muda betapa pentingnya kerjaya dalam bidang pertanian untuk masa depan.


"Kita perlu melahirkan lebih ramai anak muda yang melibatkan diri dalam industri pertanian bagi membantu meningkatkan hasil bahan makanan negara kita.


"Kita juga perlu menerapkan minda kepada anak-anak kita jika pertanian adalah sebuah bidang yang sangat penting. Kita perlu menolak pandangan yang berfikir jika pertanian adalah industri yang lapuk dan tidak mampu menjamin masa depan," katanya.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sodop Kaamatan 2024 peringkat Daerah Ranau di sini semalam yang turut dihadiri Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yassin dan Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam.


Dalam pada itu, Amisah memberitahu, kerajaan telah mewujudkan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan anak muda terlibat dalam bidang pertanian seperti mewujudkan Geran Perniagaan Agropreneur Muda, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (BAIKS) dan banyak lagi.


"Kerajaan negeri Sabah juga menghidupkan kembali Lembaga Padi dan Beras bagi menangani masalah kekurangan beras yang melanda negeri beberapa bulan yang lalu. Usaha ini adalah untuk meningkatkan lagi keterjaminan makanan dan tahap sara diri negara kita.


"Usaha dalam memperkasa keterjaminan makanan ini bukanlah usaha sepihak. Namun usaha ini perlu dilakukan oleh kita semua. Melalui tema kaamatan pada tahun ini,saya berharap kita semua mampu untuk menanamkan semangat serta berganding bahu dalam memperkasa keterjaminan makanan kita," katanya.


Terdahulu beliau menarik perhatian mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi rakyat ketika berdepan dengan pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan kekurangan stok bekalan makanan.


"Kekurangan ini berlaku akibat banyak negara yang menutup pintu keluar masuk ke negara mereka sehingga aktiviti import dan eksport makanan terganggu.


"Ketergantungan kita terhadap bahan makanan dari luar sangat tinggi. Ini menyebabkan kita sangat terganggu akan masalah ini. Bahkan kesan dari pandemik itu masih ada yang terasa sehingga kini. Antara kesan yang berlaku adalah peningkatan harga bahan mentah yang melonjak hingga kini," katanya.


Beliau seterusnya mengajak rakyat supaya terus bersyukur dengan keamanan, perpaduan dan keharmonian yang dinikmati hari ini.

  • oleh
  • Advertisement