Anda di sini

Dua badan keagamaan di DUN Dudong terima dana RM1.8 juta

Advertisement
Teo (enam kanan) menyerahkan cek RM1 juta daripada UNIFOR kepada Pengerusi Persatuan Penganut Da Wang Gong Salim Zon 3 Theng Swee Ming hari ini.
Teo (enam kanan) menyerahkan cek RM1 juta daripada UNIFOR kepada Pengerusi Persatuan Penganut Da Wang Gong Salim Zon 3 Theng Swee Ming hari ini.

SIBU: Dua badan keagamaan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong menerima dana berjumlah RM1.8 juta daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di sini, hari ini.

Penerima adalah Persatuan Penganut Da Wang Gong Salim Zon 3 yang menerima RM1 juta manakala Gereja Methodist Iban Sibu Jaya menerima RM800,000.

Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Dudong Datuk Teo Boon Siew menyerahkan cek masing-masing kepada wakil kedua-dua badan keagamaan tersebut di Ibu Pejabat PDP Cawangan Dudong di sini.

"Dana yang diterima oleh kedua-dua badan berkenaan hari ini adalah untuk membantu menaik taraf bangunan rumah ibadah mereka seperti yang dipohon oleh mereka.

"Ini juga sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap masyarakat pelbagai kaum di negeri ini," katanya.

Menurut Teo, ini merupakan kali ketiga Persatuan Da Wang Gong Salim menerima dana UNIFOR di mana yang pertama sebanyak RM150,000 dan kedua RM1 juta.

"Setiap rumah ibadah sentiasa mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg," katanya.

Teo juga menasihati penerima-penerima untuk menggunakan dana tersebut dengan sewajarnya dan perlu melaporkan kembali kepada Kerajaan Sarawak bagaimana dana berkenaan dibelanjakan.

Tegasnya, jika dalam permohonan mereka memohon dana untuk membina baharu rumah ibadat maka mereka perlu menyatakan dalam laporan berserta gambar perkembangan terkini pembinaan rumah ibadat mereka.

"Kita tidak mahu dana itu digunakan untuk perkara lain dan akan menjejaskan permohonan baharu mereka pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Teo juga menyampaikan lima komputer riba dan empat pencetak kepada lima JKKK dan individu di kawasan Dudong.

Advertisement