Anda di sini

Projek berkaitan air RM6.01b untuk Sarawak 

Advertisement
  • PETRA lulus 46 projek berkaitan air di negeri ini meliputi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu melalui RMK12
Fadillah (empat kiri), Abang Johari (lima kiri) bersama yang lain melakukan simbolik perasmian Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching. - Gambar Penerangan
Fadillah (empat kiri), Abang Johari (lima kiri) bersama yang lain melakukan simbolik perasmian Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching. - Gambar Penerangan

Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan 46 projek berkaitan air di negeri ini dengan kos RM6.01 bilion melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). 

Menterinya Dato Sri Fadillah Yusof yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ia meliputi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu. 

Manakala tahun ini sahaja katanya, sebanyak RM298 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan projek-projek berkaitan air di negeri ini. 

“Projek-projek yang diluluskan ini merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara, kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu, pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air. 

“Kerajaan persekutuan yakin dengan siapnya keseluruhan projek pelbagai skop ini akan dapat mengatasi isu bencana air, mengurangkan risiko hakisan pantai, meningkatkan penyampaian bekalan air dan pembetungan serta memberi impak yang positif kepada penduduk Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching di sini hari ini yang dihadiri dan dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Mengenai sambutan Hari Air Sedunia tersebut, Fadillah berkata pemilihan Sarawak sebagai lokasi sambutan adalah bertepatan dengan tema ‘Air Untuk Keamanan’. 

Air menurut Fadillah adalah komponen penting yang boleh bertindak sebagai penstabil dan pemangkin untuk pembangunan negara yang mampan. 

Justeru katanya, rakyat perlu bersatu dalam melindungi dan memulihara sumber yang paling berharga ini. 

“Ketidaksamarataan dalam agihan sumber air, akses yang terhad kepada bekalan air dan perkhidmatan sanitasi serta kepincangan pengagihan faedah sosial, ekonomi dan alam sekitar boleh menjadi penghalang kepada keamanan dan kestabilan negara. 

“Oleh itu, besar hasrat saya supaya konsep diplomasi air diperluaskan kepada pelbagai pihak dalam memupuk penyelesaian yang inovatif melalui dialog, perkongsian data dan membuat keputusan bersama agar risiko konflik dapat dikurangkan seterusnya mencapai hasrat ‘Air Untuk Keamanan’,” katanya. 

Dalam pada itu Hari Air Sedunia disambut setiap tahun pada 22 Mac dengan tujuan memperbaharui tekad dan azam serta memberi fokus kepada kepentingan air dan pembangunan secara lestari. 

Tahun ini tema bagi Hari Air Sedunia adalah ‘Air Untuk Keamanan’ yang memfokuskan kepada peranan air dalam kestabilan dan kemakmuran dunia. 

Advertisement