Anda di sini

Latihan penilaian pertumbuhan kanak-kanak, penyediaan makanan sihat kepada tadika swasta 

Advertisement
Dr Packierisamy (baris kedua, duduk enam kiri) bersama jawatankuasa penganjur dan peserta program tersebut.
Dr Packierisamy (baris kedua, duduk enam kiri) bersama jawatankuasa penganjur dan peserta program tersebut.

MIRI: Pejabat Kesihatan Bahagian Miri menganjurkan Latihan Penilaian Pertumbuhan Kanak-Kanak dan Penyediaan Makanan Sihat kepada pengendali taska dan tadika swasta semalam.

Program itu diadakan di Auditorium Pustaka Miri melalui kolaboratif bersama Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri, Subis dan Baram.
 
Latihan ini disasarkan kepada pengusaha, penyelia, guru dan pengasuh taska dan tadika swasta beroperasi di bahagian ini dengan matlamat meningkatkan penyampaian pengetahuan dan asas kemahiran kepada peserta dalam penilaian status pertumbuhan kanak-kanak kecil. 

Pada masa sama mendidik mereka untuk lebih memahami dan menguasai teknik pemilihan dan penyediaan makanan sihat di taska dan tadika.

"Melalui sesi latihan ini diharapkan masalah pemakanan seperti kurang berat badan, obesiti dan bantut dapat dicegah dalam kalangan kanak-kanak kecil," kata Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P Raviwharmman dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Seramai 135 peserta daripada 28 taska dan 24 tadika swasta terlibat secara aktif dalam sesi latihan ini.

"Kajian National Health Morbidity Survey 2022 dilaksanakan peringkat kebangsaan dan mendapati sebanyak 15.3 peratus kanak-kanak bawah lima tahun mengalami kekurangan berat badan dan 21.2 peratus adalah bantut. 

"Bantut adalah masalah ketinggian tidak seiring dengan usia disebabkan masalah kekurangan nutrien kronik iaitu pendek atau rendah berbanding rakan sebaya," jelasnya. 

Diagnosis bantut ditentukan berdasarkan ukuran panjang atau ketinggian dibandingkan dengan umur kanak-kanak terbabit. 

Justeru, beliau berharap Latihan Penilaian Pertumbuhan Kanak-Kanak dan Penyediaan Makanan Sihat kepada pengendali-pengendali taska dan tadika meningkatkan keupayaan institusi taska dan tadika dalam menyokong dan menggalakkan aktiviti pemakanan sihat, status kesihatan optimum serta menerapkan ilmu-ilmu kesihatan pemakanan kepada pengendali institusi itu.

Dr Packierisamy berkata, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Miri dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Miri dalam melatih guru dan ibu bapa, penjaga bagi tadika dan tabika diuruskan agensi-agensi tersebut. 

Setiap tahun agensi-agensi tersebut menjemput pegawai Pejabat Kesihatan melaksanakan latihan ini juga kepada guru dan sesi dialog bersama ibu bapa serta penjaga di tadika dan tabika di bawah pengurusan mereka. 

"Pejabat Kesihatan sentiasa menghebahkan mesej penyediaan pemakanan sihat dan berkhasiat melalui pelbagai aktiviti di klinik-klinik kesihatan, forum komuniti dan platform media sosial," katanya. 

Advertisement