Anda di sini

Keluarga Joanna adakan upacara sembahyang selama sembilan hari

Advertisement
Rohna ketika ditemui media. - Gambar Roystein Emmor
Rohna ketika ditemui media, hari ini. - Gambar Roystein Emmor

SERIAN: “Kami mengadakan upacara sembahyang selama sembilan hari hingga Jumaat ini (nanti) bagi memperingati pemergiaan anak kami sebagai wira.”

Demikian kata Rohna Tumbo, ibu kepada mendiang Laskar Kanan (LK) JJM Joanna Felicia Rohna yang terlibat dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.

Katanya, mereka mengadakan upacara sembahyang selama sembilan hari bagi memperingati mendiang anaknya itu.

“Upacara itu dilakukan di rumah kami di Kampung Sumpas Tampek,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediaman suami mendiang, Bintara Muda Teknisyen Marin Kuasa Gerak (TMK) TLDM, Haslie Ali, 33, di Kampung Engkeroh di sini, hari ini.

Ditanya mengenai keperibadian mendiang, Rohna berkata, Joanna merupakan anak yang sangat baik dan suka membantu orang dalam kesusahan.

Mendiang juga katanya, seorang yang penyayang bukan sahaja kepada anak-anak tetapi juga adik-beradik, datuk dan neneknya.

“Malah, dia sering membuat panggilan video dengan nenek dan adiknya, tanya mereka buat apa, sudah makankah belum.

“Selepas ini, kami tidak lagi menerima panggilan telefon daripadanya sebab dia sudah pergi,” kata Rohna dalam nada sebak.

Mendiang Joanna, 26, merupakan salah seorang daripada 10 mangsa tragedi helikopter TLDM yang terkorban semasa raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM Ke-90 pada pagi Selasa lalu.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi itu melibatkan dua helikopter iaitu pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan pesawat Fennec dinaiki tiga kru yang bertembung di udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut.

Rentetan insiden menyayat hati itu, Sambutan Hari TLDM yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu telah dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat untuk mangsa terlibat tragedi berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement