Anda di sini

Biojisim ganti arang batu sebagai sumber kuasa

Advertisement

Sarawak akan ganti loji kuasanya yang guna sumber arang batu di Sejingkat, Balingian dengan sumber biojisim 

Abang Johari (empat kanan) bersama Fadillah (tiga kanan) serta yang lain melawat pameran sempena sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching. - Gambar Penerangan
Abang Johari (empat kanan) bersama Fadillah (tiga kanan) serta yang lain melawat pameran sempena sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching. - Gambar Penerangan

KUCHING: Sarawak akan menggantikan dua loji kuasanya yang menggunakan sumber arang batu di Sejingkat dan Balingian dengan sumber biojisim. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau telah melawat Loji Kuasa Drax di United Kingdom, minggu lepas. 

Loji tersebut katanya menjana kuasa menggunakan sumber arang batu tetapi kini digantikan dengan sumber biojisim.  

“Pelaburannya tidak banyak sebab ekosistemnya serupa malah kita boleh jana lebih daripada 500 megawatt tenaga. 

“Kita hanya memperkuatkan pemanasnya dan mesinnya yang boleh menjana lebih daripada 500 megawatt,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir. 

Ujar Abang Johari lagi, beliau akan berbincang dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) berhubung perkara ini. 

Jika sumber biojisim digunakan, pengeluaran kuasa di loji Sejingkat boleh ditingkatkan kepada 1,000 megawatt, katanya. 

Mengenai pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah projek empangan melata di negeri ini, Abang Johari berkata kerajaan tidak akan melaksanakannya jika terdapat bantahan. 

“Ada pihak NGO yang tidak tahu mengenai konsep ini dan mereka berkehendakkan butiran terperinci mengenai pelaksanaan projek tersebut. 

“Kalau mereka rasa curiga, kita pergi ke tempat lain yang orang mahu dan sekarang kita laksanakan di Sungai Gaat, Kapit kerana mereka berkehendakkan sumber ini (empangan melata),” katanya. 

Konsep empangan melata merupakan kaedah baharu pengeluaran tenaga diperbaharui Sarawak selain empangan kuasa hidro sedia ada. 
 

  • oleh
  • Advertisement