Anda di sini

Berhati-hati dengan individu menyamar sebagai pemimpin peringkat kampung

Advertisement
 Chew ketika membantu pemohon mengisi borang permohonan PPRT.
BANTU: Chew ketika membantu pemohon mengisi borang permohonan PPRT.

SANDAKAN: Penduduk kampung diminta berhati-hati dengan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai Ketua Kampung khususnya dalam urusan permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Datuk Chew Kok Woh berkata, baru-baru ini beliau bertemu dengan sekeluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Sundang pada 2022.

"Mereka kini menetap di Kg Gas dan bertemu saya untuk meminta bantuan memohon seunit rumah baharu PPRT di Kg Pening Lalat, Karamunting.

"Saya dimaklumkan mereka terdapat seorang penduduk kampung yang mengakui dirinya sebagai Ketua Kampung Kg. Pening Lalat dan boleh mendapatkan tapak tanah untuk bina seunit PPRT dengan kos tanah RM3,000 sahaja untuk satu lot.

"Saya difahamkan daripada seorang Mantan Pesuruhjaya Sumpah yang masih aktif, menyaksikan Surat Akuan Bersumpah dan mengesahkan dokumen berkaitan untuk urusan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, Kg. Pening Lalat atau Kg. Bukit Nenas tidak pernah mempunyai Ketua Kampung kerana belum dilantik oleh Mahkamah Anak Negeri.

Katanya, kawasan kampung itu adalah milik sebuah syarikat dan bukan milik persendirian.

Maka katanya, setiap pembinaan PPRT perlu mempunyai kebenaran daripada pemilik tanah dan bukannya Ketua Kampung, Pesuruhjaya Sumpah ataupun orang tengah.

"Bagi mereka yang mahu memohon rumah baru, seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), pemohon mesti mempunyai tanah bergeran dan persetujuan pemilik tanah.

"Pemohon juga mesti dalam kategori e-Kasih, mangsa kebakaran atau bencana alam atau rumah diaf," katanya.

Menurutnya, mereka yang mahu memohon boleh datang ke pejabat UPPM untuk memohon.

Chew berkata, tanah perkampungan yang dipohon oleh Mahkamah Anak Negeri di Batu 4, berdekatan dengan Pejabat Pandu Puteri (Sg Kebun Cina) masih dalam proses kerana tapak itu tidak sesuai untuk pembinaan perumahan kerana kawasan itu tempat simpanan air loji Jabatan Air Sandakan.

"Buat masa ini, Mahkamah Anak Negeri tidak menjalankan aktiviti jualan tanah lot untuk orang awam di kawasan itu.

"Maka, sesiapa yang mahu memeriksa kesahihan seseorang yang mengakui dirinya sebagai pemimpin akar umbi, boleh berhubung dengan pejabat UPPM Karamunting (089 211 200) atau saya (012 817 6628)," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement