Anda di sini

Pelita Maslaut bantu tingkat industri perkapalan Sarawak, Malaysia: Henry

Advertisement
Henry menyampaikan anugerah Pelatih Terbaik kepada Al-Haqkim Furqan Ramzan sambil disaksikan oleh Masni (dua kiri) serta tetamu kehormat lain.
Henry menyampaikan anugerah Pelatih Terbaik kepada Al-Haqkim Furqan Ramzan sambil disaksikan oleh Masni (dua kiri) serta tetamu kehormat lain.

MIRI: Kewujudan akademi latihan khusus dalam pengajian perkapalan seperti Pelita Maslaut Sdn Bhd (Pelita Maslaut) dapat membantu meningkatkan pembangunan industri perkapalan di Sarawak dan Malaysia.

Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep berkata, Pelita Maslaut turut menaik taraf ekonomi penduduk tempatan yang menghantar anak-anak mereka atau menyertai sendiri kursus yang dilaksanakan di akademi terbabit.

"Terdapat banyak akademi seumpama ini di negara kita, tetapi saya difahamkan bahawa Pelita Maslaut adalah antara yang teratas selepas Akademi Laut Malaysia (ALAM).

"Kita sedia maklum bahawa ALAM adalah sebuah akademi atau pusat latihan yang terulung di rantau ini berdasarkan maklum balas daripada jabatan-jabatan yang berkaitan dengannya.

"Saya amat berbesar hati kerana terdapatnya pusat latihan Pelita Maslaut yang memberikan pengajian perkapalan sama ada mengenai bahagian dek ataupun enjin," ujarnya.

Henry berkata demikian pada Majlis Tamat Latihan Parentis Marin Dek Sesi 39/2024 di Pejabat Pelita Maslaut Miri Lutong, pada Sabtu.

Hadir sama ialah Pengarah Pelita Maslaut Sdn Bhd Masni Amit, Pengarah Latihan dan Operasi Pelita Maslaut Sdn Bhd Mohamad Safrin Masni, Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubin, Ketua Penolong Pengarah Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leonard Doo dan Kaunselor Abdullah Jaini.

Seramai 17 pelatih menerima sijil tamat latihan masing-masing daripada Henry pada majlis tersebut.

Menurut Henry lagi, Pelita Maslaut menyediakan dasar pengambilan secara terbuka serta fleksibel kepada para belia yang berminat dalam bidang pengajian perkapalan.

"Pencapaian Pelita Maslaut amat membanggakan kerajaan Sarawak kerana telah melaksanakan tugasnya sejajar dengan mandat yang telah diamanahkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia yang bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Keperluan Pelaut Malaysia menerusi latihan-latihan mengikut garis panduan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa.

"Saya juga dimaklumkan Pelita Maslaut telah operasi semenjak 23 tahun lalu di Sarawak, bermula di Sibu, kemudiannya dipeluaskan dengan pembukaan cawangannya di Kota Kinabalu dan seterusnya dilebarkan sayap operasinya di sini, bandar raya Miri," katanya.

Jelas Henry, Pelita Maslaut turut akan berpindah ke kampus baharunya yang sedang dibina dan dijangka siap pada Jun 2025.

Kampus terbabit akan dilengkapi dengan kemudahan yang boleh memuatkan sehingga 400 pelatih pada satu-satu masa.

"Dengan adanya kampus baharu itu nanti, ia secara langsung akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan pelaut tempatan di samping menampung permintaan industri perkapalan. 

"Malah, dengan adanya pelbagai kursus disediakan sama ada bahagian dek atau enjin juga akan memenuhi keperluan pelaut semasa," katanya.

Justeru katanya, ia turut menandakan Pelita Maslaut telah dan akan terus melahirkan lebih ramai pelaut tempatan yang akan berkhidmat dalam bidang perkapalan sama ada dalam negara mahupun luar negara mengikut keperluannya.

"Pelita Maslaut juga sebuah akademi atau pusat latihan yang memberi kembali kepada masyarakat setempat dengan membantu memenuhi minat dan kemahiran golongan belia dalam bidang pelaut," tambah Henry.
 

  • oleh
  • Advertisement