Anda di sini

Pelabuhan Bintulu akan dikendalikan mengikut acuan Sarawak

Advertisement
Hasbi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang turut hadir dalam majlis berkenaan.
Hasbi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang turut hadir dalam majlis berkenaan.

BINTULU: Pelabuhan Bintulu akan dikendali serta dimajukan mengikut corak serta aspirasi sistem pengurusan pelabuhan di Sarawak, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Menurutnya, selepas pelabuhan ini diambil alih kelak dan dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak, ia akan menjadi pelabuhahan versi Sarawak yang moden dan unggul di wilayah ini.

"Langkah Sarawak adalah tepat pada masanya iaitu menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai sebuah pelabuhan yang bertaraf antarabangsa sekali gus memberikan pertumbuhan positif terhadap sektor ekonomi di Sarawak," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 anjuran Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) di pekarangan Menara Kidurong di Jalan Tanjung Kidurong malam tadi.

Apa yang lebih penting lagi jelas beliau ialah LPB harus mengekalkan kerjasama baik dengan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) yang dilesenkan bagi mengendalikan urusan import-eksport pelabuhan.

Dalam masa sama tegasnya, pihak pengurusan pelabuhan harus memastikan hubungan baik antara pelanggan terutama syarikat-syarikat perindustrian dan pihak berkepentingan yang lain akan terus digiatkan lagi bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat sama ada yang memberi atau mendapatkan perkhidmatan sekali gus mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak.

Dalam ucapannya, Hasbi berharap agar majlis sebegini akan dapat mengeratkan lagi talian silaturahim LPB dengan semua pihak berkepentingan yang menggunakan khidmat pelabuhan dalam urusan keluar masuk barangan atau produk masing-masing.

"Justeru, pengambilalihan LPB dari persekutuan sebagai tepat pada masanya kerana kerajaan Sarawak mempunyai kemampuan bagi mengurus dengan baik pelabuhan laut dalam ini," tambah beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyantuni serta menyampaikan sumbangan raya kepada 61 kanak-kanak yatim yang turut dijemput khas bagi sama-sama meraikan majlis sambutan Aidilfitri berkenaan.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah LPB Dato Sharkawi Alis, Ketua Pegawai Eksekutif BPSB Ruslan Abdul Ghani dan Pengurus Besar LPB Mizool Amir Mat Drus.
 

  • oleh
  • Advertisement