Anda di sini

Kerajaan Sarawak jalankan Operasi Bersepadu Rabies 2024 di Kuching 

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menjalankan Operasi Bersepadu Rabies 2024  di Daerah Kuching pada 29 hingga 30 April dan 2 hingga 3 Mei ini dalam  usaha untuk mengekang penularan wabak rabies.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan hari ini berkata operasi ini bertujuan  menyampaikan kesedaran kepada orang awam mengenai rabies dan keperluan untuk melesenkan haiwan peliharaan.

Operasi ini katanya akan dilakukan dengan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk vaksinasi anjing, dan pelesenan di kawasan-kawasan yang telah mencatatkan kes rabies yang tertinggi melibatkan manusia, iaitu di kawasan Tabuan Jaya, Taman Landeh, Desa Wira dan Sungai Maong Tengah.

Oleh itu katanya, masyarakat dan pemilik anjing adalah dimohon untuk memberi kerjasama semasa operasi ini dilaksanakan untuk menvaksinkan, melesenkan dan tidak membiarkan haiwan peliharaan bebas di jalanan dan berkeliaran di luar pekarangan rumah.

Kerjasama daripada semua pihak amatlah diperlukan untuk memastikan operasi ini  dapat dilaksanakan dengan berjaya bagi mengawal penularan wabak rabies, agar Sarawak dapat mencapai sifar rabies menjelang 2030.

Agensi-agensi yang terlibat dalam operasi ini adalah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Veterinar Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia, Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan Sarawak, Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Perbandaran Padawan dan badan/pertubuhan bukan Kerajaan yang berkaitan.

Dalam pada itu setakat 19 April 2024 sebanyak lima bahagian di Sarawak telah diisytiharkan sebagai kawasan rabies iaitu Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Bintulu dan Sri Aman.

Sejak dari 2017, sebanyak 213,190 ekor anjing telah divaksinkan dan 78 kes Rabies melibatkan manusia telah dilaporkan di mana 71 kes melibatkan kematian.
 

  • oleh
  • Advertisement