Anda di sini

Kerajaan rangka hala tuju beri lebih banyak perlindungan kepada kanak-kanak

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KOTA TINGGI: Kerajaan akan merangka hala tuju bagi memberikan lebih banyak perlindungan dari segi undang-undang kepada kanak-kanak di negara ini, termasuk bukan warganegara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata hala tuju tersebut ,diharapkan akan dapat diperoleh menerusi penganjuran International Symposium on Empowerment of Children’s Commission: Strengthening Rights and Safeguarding Futures pada Isnin ini.

Beliau berkata simposium tersebut akan berlangsung selama dua hari di Auditorium Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Bangunan Sulaiman di Kuala Lumpur.

“Kita akan bawa beberapa pakar dari luar negara yang mewujudkan pejabat child commissioner dan kita akan menilai cara, cabaran mereka hadapi (dalam isu perlindungan kanak-kanak) supaya kesilapan mereka kita tidak ulang.

“Walaupun kita sudah ada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), tetapi kita perlu ada pengkhususan. Jadi harapan saya menerusi simposium ini, kita akan dapat hala tuju untuk memberikan lebih banyak perlindungan dari segi undang-undang kepada kanak-kanak dalam negara kita, sama ada anak Malaysia atau anak bukan warga negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pengerang, di sini malam tadi. 

Beliau berkata simposium tersebut dianjurkan bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), UNICEF Malaysia, Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dan Suhakam.

Simposium tersebut disertai penceramah dari pelbagai negara selain dihadiri mantan pengerusi PBB mengenai Hak Kanak-kanak Dr Mikiko Otani.

Antara objektif simposium tersebut diadakan adalah bagi bertukar pandangan tentang cabaran utama berkaitan isu kanak-kanak di Malaysia dan mengenal pasti strategi penyelesaian yang berkesan.- BERNAMA
 

Advertisement