Anda di sini

Monaco tangguhkan pesta kejuaraan Ligue 1 Perancis PSG

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Monaco dan Lille di Stade Louis II di Monaco. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Monaco dan Lille di Stade Louis II di Monaco. — Gambar AFP

PARIS: Kemenangan 1-0 Monaco ke atas Lille pada Rabu menyebabkan Paris Saint-Germain (PSG) terpaksa menunggu sekurang-kurangnya sehingga hujung minggu ini sebelum mengesahkan kejuaraan Ligue 1 Perancis.

Ousmane Dembele dan Kylian Mbappe masing-masing menjaringkan dua gol ketika PSG membelasah Lorient 4-1 pada perlawanan awal, bermakna pencabar  terdekat mereka, Monaco perlu tewas untuk mengesahkan kejuaraan liga buat PSG.

Bagaimanapun, gol Youssouf Fofana dalam separuh masa kedua sudah memadai buat Monaco meraih kemenangan keempat berturut-turut dan mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua liga.

Monaco adalah satu-satu kelab yang boleh mengejar PSG dengan baki empat perlawanan namun jurang 11 mata kelihatan memihak kepada PSG.

Skuad kendalian Luis Enrique mempunyai peluang mengesahkan kejuaraan Sabtu ini jika menewaskan kelab tercorot, Le Havre.

Ia akan merupakan kejuaraan liga ke-12 buat PSG, dan yang ke-10 dari 12 musim terakhir sejak di awal era pemilikan hartawan Qatar yang telah mengubah Ligue 1.

PSG mengintai tiga kejuaraan musim ini, dengan perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund dan final Piala Perancis menentang Lyon bulan hadapan.

Mereka tidak diberi tentangan yang kuat oleh Lorient walaupun melakukan beberapa pertukaran pemain, dengan kapten pasukan, Marquinhos, Achraf Hakimi dan Vitinha adalah antara pemain yang direhatkan.

“Kami melakukan tugas kami. Kami serius dan memperolehi tiga mata penuh walaupun melakukan beberapa pertukaran pemain,” kata Luis Enrique.

Dembele meletakkan PSG di hadapan pada minit ke-19 selepas menerima umpanan daripada Senny Mayulu sebelum Nuno Mendes melorong bola kepada Mbappe untuk menambah jaringan pada pertengahan separuh masa pertama.

PSG kelihatan melanjutkan tempoh tanpa kalah dalam Ligue 1 kepada 25 perlawanan sejak bulan September tahun lepas dengan hanya satu kekalahan mereka dalam liga  musim ini ialah kepada Nice.

Berbeza dengan Lorient, sasaran untuk mengelak kekalahan keempat berturut-turut dan keluar dari zon penyingkiran automatik tidak kesampaian.

Mbappe kemudian melepasi kawalan Nathiel Adjel sebelum mengumpan bola kepada Dembele untuk menjaringkan gol ketiga.

Ia adalah gol kelima Dembele musim ini, selepas turut menjaringkan gol dalam dua perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara ketika menewaskan Barcelona.

Lorient merapatkan kedudukan pada minit ke-73 menerusi gol Mohamed Bamba tetapi Mbappe menjaringkan gol keempat PSG pada minit ke-90.

Gol itu adalah gol ke-43 Mbappe dalam semua pertandingan musim ini dari 43 perlawanan, dengan 26 gol dijaringkan dalam Ligue 1.

Kemenangan buat Monaco meletakkan mereka lima mata di hadapan pasukan di tangga ketiga, Brest dan enam mata di hadapan pasukan di tangga  keempat, Lille, bermakna mereka dijangka akan kembali semula beraksi dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2018/2019.

Tiga pasukan teratas Ligue 1 akan layak secara automatik dalam format baharu Liga Juara-Juara, dengan pasukan di tangga keempat akan beraksi dalam pusingan kelayakan.

Lille kini empat mata di hadapan Nice, yang seri 2-2 dengan Marseille pada perlawanan lain.

Terem Moffi meletakkan Nice di hadapan tetapi Jonathan Clauss mengikat kedudukan buat Marseille, yang kemudian kehilangan Faris Moumbagna yang dibuang padang pada akhir separuh masa pertama.

Walaupun bermain dengan 10 pemain, Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan Marseille di hadapan dari satu tendangan penalti namun Melvin Bard berjaya mengikat kedudukan buat Nice, menyebabkan Marseille kini kurang satu mata di tangga ketujuh. — AFP
 

Advertisement