Anda di sini

Seramai 30 kakitangan LSS hadiri program Siri Jelajah Integriti

Advertisement
Gambar kumpulan program Siri Jelajah Integriti Bersama Agensi MOTS Wilayah Miri.
Gambar kumpulan program Siri Jelajah Integriti Bersama Agensi MOTS Wilayah Miri.

KUCHING: Seramai 30 kakitangan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) menghadiri program Siri Jelajah Integriti Bersama Agensi Kementerian Pengangkutan Sarawak Tahun 2024 pada 24 dan 25 April 2024 di Miri.

Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, program tersebut merupakan anjuran pihaknya dengan kerjasama LSS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.

Menurutnya, ia merupakan program yang pertama kalinya dianjurkan dengan objektif memperluaskan mesej berkaitan integriti kepada pegawai dan kakitangan MOTS serta agensi di bawah Kementerian. 

“Selain itu, program ini juga dianjurkan untuk membantu agensi mengatasi masalah dan kelemahan sistem pentadbiran sedia ada yang boleh membuka ruang dan peluang kepada amalan tidak sihat seperti penyelewengan dan rasuah,” ujar kenyataan berkenaan. 

Antara pengisian program adalah sesi ceramah serta taklimat daripada pihak Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak dan pihak SPRM berkaitan salah laku integriti dan rasuah dalam kalangan penjawat awam. 

Pada program ini juga katanya, pihak SPRM telah menyampaikan Modul Antirasuah kepada semua peserta.

Dalam pada itu, Setiausaha Tetap MOTS Dato Alice Jawan Empaling dalam ucapan perasmiannya berkata, Siri Jelajah Integriti ini dirancang untuk diadakan sebanyak tiga kali yang akan melibatkan kesemua wilayah LSS iaitu Wilayah Utara (Miri), Wilayah Tengah (Sibu) dan diakhiri dengan Wilayah Selatan (Kuching). 

Beliau juga berharap agar MOTS dan agensi di bawah MOTS sama-sama membangun dan memperkasakan nilai integriti sebagai salah satu amalan dan budaya kerja seharian.

Hadir sama pada siri pertama program tersebut adalah Setiausaha Tetap MOTS Dato Alice Jawan Empaling, Penolong Pesuruhjaya, Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Sarawak Mardiana Han, Ketua Bahagian Pengurusan Korporat MOTS Elvis Didit, Penolong Kontroler LSS Sam Budi dan warga kerja MOTS dan LSS.
 

Advertisement