Anda di sini

Penjawat awam perlu amal kecepatan dan kepesatan dalam pelaksanaan tugas: Anwar

Advertisement
Anwar (tengah) bersama ahli Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri PPTD bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.-Gambar BERNAMA
Anwar (tengah) bersama ahli Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri PPTD bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.-Gambar BERNAMA

PUTRAJAYA: Penjawat awam digesa untuk sentiasa mengamalkan kecepatan dan kepesatan dalam pelaksanaan tugas supaya dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan pantas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata apabila sesuatu dasar diumumkan kerajaan, penjawat awam perlu melaksanakannya dengan pantas dan cara yang baharu.

“Jadi apabila ada keputusan Jemaah Menteri disampaikan oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara), KSU (Ketua Setiausaha), kalau kita guna cara lama, kita tak mungkin boleh berjaya, inilah sebabnya mengapa saya katakan, kepesatan dan kecepatan, kelulusan itu sangat mendesak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada pada Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) bersama Perdana Menteri di sini hari ini, yang turut dihadiri KSN Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Presiden PPTD Datuk Seri Isham Ishak.

Anwar berkata penjawat awam boleh memberikan input sekiranya merasakan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri dirasakan tidak bijak. 

“Mana-mana keputusan, kalau saudara merasakan ini keputusan Jemaah Menteri yang tidak bijak, jadi segera bagi input, tetapi apabila keputusan sudah dibuat penjawat awam mesti jalankan dasar yang dibuat, dan ini dasar baharu bukan sahaja bagi saudara, malah kepada saya juga,” katanya.

Mengambil contoh di Pulau Pinang sebagai negeri maju dan meraih pelaburan puluhan bilion ringgit selain pendapatannya antara tertinggi dalam kalangan negeri lain, bagaimanapun ia memiliki kira-kira 2,000 penduduk miskin tegar.

“Macam di Pulau Pinang, negeri maju, pelaburan puluhan bilion (ringgit), pendapatannya antara tertinggi berbanding negeri lain jauh lebih tinggi, tetapi masih ada sekitar 2,000 miskin tegar, saya kata tidak, saya beritahu ketua menteri, mahu ini diselesaikan dalam bulan ini, sebab kita ada upaya,” katanya.

Pada masa yang sama Anwar turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kerana mendapat kerjasama penuh kalangan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam melaksanakan urusan pentadbiran negara. 

Anwar berkata antara langkah awal diambilnya semasa beliau memegang tampuk pemerintahan negara ialah memastikan sebaik sahaja Jemaah Menteri dipilih, lantikan setiausaha sulit kanan mesti dari kalangan PTD atau penjawat awam.

“Saya nak bagi signal jelas bahawa pentadbiran di bawah Anwar harus bermula dengan pendirian untuk bekerjasama dan sinergi dengan PTD," katanya.

Sementara itu Isham semasa berucap berkata sesi townhall pada petang ini dengan tagline ‘PPTD Tonggak Malaysia MADANI’, merupakan medan wacana untuk pihak PPTD berinteraksi lebih dekat dengan perdana menteri bagi mendapatkan pandangan, nasihat serta buah fikiran terutamanya dalam usaha untuk menaik taraf kehidupan rakyat, memajukan negara dan seterusnya merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI.

“Dasar-dasar dan segala inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan yang memerintah pastinya sentiasa didukung sepenuhnya oleh para penjawat awam bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mencapai objektif yang diharapkan.

“Dalam hal ini, peranan PTD cukup signifikan dalam membantu kerajaan bukan sahaja memimpin organisasi, malah turut sama-sama merangka dasar, menggembleng tenaga dan buah fikiran sebagai satu pasukan untuk membangunkan dan memajukan negara yang kita cintai ini,” katanya.- BERNAMA
 

Advertisement