Anda di sini

Bayi perempuan dilahirkan dari rahim ibu yang syahid

Advertisement

Si ibu baru hamil tujuh bulan sampai ke unit kecemasan dalam keadaan kritikal akibat cedera parah di kepala dan perut

 

RAFAH: Di bawah serangan yang berterusan di Gaza, seorang bayi perempuan telah terselamat daripada kemungkinan luar biasa sebagai satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup selepas bayi itu dilahirkan melalui pembedahan Caesar ketika ibunya sedang nazak.

Baru hamil tujuh bulan, ibunya, Sabreen al-Sakani, sampai ke unit kecemasan dalam keadaan kritikal selepas dia cedera parah di kepala dan perut  pada hujung minggu lepas.

Serangan udara Israel membedil rumah keluarganya di timur bandar Rafah di selatan Gaza.

“Ia satu keajaiban dia masih hidup, walaupun mengalami kesukaran bernafas,” kata Sahib al-Shams, seorang pakar bedah dan pengarah hospital Kuwait di Rafah, kepada AFP.

Semasa memeriksa Sakani, pasukan perubatan hospital menyedari dia hamil.

Mereka memutuskan untuk meneruskan pembedahan Caesar dengan segera, walaupun kekurangan ubat anestetik.

“Si ibu meninggal dunia 10 minit kemudian,” kata Shams sambil menambah bahawa bapa dan kakak bayi itu telah diisytiharkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Pagi kelmarin, kakitangan hospital melaporkan bayi itu berada dalam keadaan stabil.

Sekurang-kurangnya 19 orang maut dalam serangan udara yang memusnahkan rumah keluarga Sakani, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Bayi yang baru lahir itu dipindahkan ke unit pediatrik hospital Emirati, sebuah hospital lapangan yang ditubuhkan di Rafah pada Disember untuk menangani jumlah kecederaan dan kematian yang semakin meningkat di wilayah Palestin yang terkepung.

“Kami segera memasukkannya ke dalam inkubator, menyalurkan oksigen padanya dan merawatnya dengan antibiotik,” kata Haidar Abu Snimeh, seorang pegawai di hospital Emirati.

Rami al-Sheikh, bapa saudara bayi itu, akan menjadi penjaga anak yatim piatu itu apabila dia keluar dari hospital.

“Setiap hari, saya pergi ke hospital untuk memeriksa anak perempuan abang saya yang diselamatkan dari rahim ibunya,” kata Sheikh.

“Saya menamakannya ‘Sabreen al-Ruh’ kerana bapanya mahu menamakannya Ruh,” tambahnya, merujuk kepada perkataan jiwa dalam bahasa Arab. — AFP 
 

Advertisement