Anda di sini

Lelaki didenda RM3,000 kerana ceroboh pekarangan rumah wanita

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan ke atas seorang lelaki kerana menceroboh pekarangan rumah seorang wanita pada Selasa.

Azlan Kimbi, 29, mengaku bersalah di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi selepas dia didakwa di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Azlan melakukan kesalahan itu di rumah seorang wanita di Jalan Jambu 1, Sunrise Garden di sini, kira-kira jam 7.10 pagi pada 23 April 2024.

Berdasarkan fakta kes, wanita berkenaan berada di rumah ketika melihat seorang lelaki tidak dikenali (Azlan) berada di pekarangan rumahnya.

Beliau segera menghubungi polis dan Azlan ditangkap pada hari sama.

Siasatan yang dilakukan mendapati Azlan melakukan kesalahan jenayah menceroboh dengan memasuki kawasan rumah wanita berkenaan menyebabkan mangsa tertekan dan cemas.

Difahamkan semasa ditangkap, Azlan didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Difahamkan juga, Azlan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan pecah rumah, dadah dan mencuri.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

Advertisement