Anda di sini

Jasad Joanna akan dibawa ke Kampung Engkaroh hari ini

Advertisement
 

KUCHING: Jasad Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna (gambar) dijangka akan dibawa ke Kampung Engkaroh, Tebakang di Serian, hari ini.

Menurut jurucakap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), jasad mendiang dijadual diterbangkan dari Ipoh ke Kuching malam ini menggunakan pesawat C130.

“Rancangan pengebumian mendiang dijangka pada esok hari (25 April) 2024 sekitar jam 9 pagi,” katanya dalam kemas kini maklumat diedarkan kepada media hari ini.

Joanna antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak jam 9.32 pagi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90. 

Difahamkan, proses bedah siasat terhadap semua mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dijangka selesai jam 2 petang ini.

Lapan jenazah mangsa berkenaan akan diberikan penghormatan terakhir mengikut istiadat ketenteraan di Batalion Ke-23 RAMD sebelum dibawa ke lokasi pengebumian mengikut permintaan keluarga masing-masing.

Sementara mendiang Leftenan T Sivasutan pula akan dibawa ke kediaman keluarganya di Sitiawan, Perak sejurus selepas proses bedah siasat selesai manakala jasad Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna akan diterbangkan ke Kuching.
 

Advertisement