Anda di sini

Curi seluar dalam wanita, lelaki dipenjara dua bulan

Advertisement
 

SIBU: Gara-gara mencuri dua helai seluar dalam wanita dari kawasan perumahan di Sibu Jaya, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Gani Pau, 37, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu turut diperintahkan oleh Majistret Romario Jonoi untuk menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditahan iaitu 19 April lepas.

Mengikut pertuduhan, Gani dituduh mencuri dua helai seluar dalam wanita dari sebuah kediaman di Town Villa Sibu Jaya pada 18 April 2024, kira-kira jam 12.59 tengah malam.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit dengan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 18 April 2024 kira-kira jam 10 pagi, pengadu wanita yang berusia 50 tahun mendapati seluar dalam miliknya serta ahli keluarganya yang dijemur pada penyangkut baju telah hilang dipercayai dicuri.

Setelah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mereka, pengadu mendapati kejadian berlaku pada 18 April 2024, kira-kira jam 12.59 tengah malam.

Pengadu kemudian membuat laporan polis dan pada keesokan harinya dan kira-kira jam 1 petang, pihak polis telah menahan tertuduh dari kawasan perumahan yang sama.

Pihak polis turut merampas dua helai seluar dalam wanita berwarna jingga dan merah jambu, selain pakaian yang digunakan tertuduh ketika melakukan jenayah tersebut sebagai bahan bukti.

  • oleh
  • Advertisement