Anda di sini

Sabah terus menerima manfaat daripada penjualan minyak mentah

Advertisement

KOTA KINABALU: Sabah menjual muatan minyak mentah pertamanya daripada 50 peratus kepentingan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang pada nilai jualan anggaran berjumlah RM190 juta pada Jumaat.

Dalam kenyataan dikeluarkan SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE), pengambilalihan 50 peratus dalam penyertaan itu oleh SMJE di PSC Samarang sejak 31 Mei 2023, membenarkan Sabah menjual hak minyak mentahnya di Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) kepada pembeli minyak mentah antarabangsa berjumlah empat kargo sehingga kini dengan nilai anggaran jualan dibawah RM580 juta.

Jualan berkenaan diunjurkan akan membawa hasil berterusan kepada Sabah sepanjang tempoh 12 tahun akan datang berdasarkan penyertaannya dalam PSC Samarang .

Negeri ini akan terus menikmati manfaat hasil daripada penyertaan dalam sektor minyak dan gas di Sabah melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara PETRONAS dan kerajaan negeri pada 7 Disember 2021.

Pada 25 April 2023, SMJ Sdn Bhd (SMJSB) telah menandatangani Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dengan PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCGB) untuk pengambilalihan 25 peratus kepentingan penyertaan dalam Loji Petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR).

SMJSB juga telah menandatangani Surat Persefahaman (LoU) mengenai aturan 'back-in option' Block SB409. PSC memberikan SMJE hak untuk mendapatkan 20 peratus kepentingan dalam penyertaan itu

Sabah akan meneruskan usahanya untuk mendapatkan lebih banyak penyertaan dalam industri minyak dan gas di Sabah.
 

Advertisement