Anda di sini

PKR lancar KEMAS16 sebagai persediaan hadapi PRU16

Advertisement
Rafizi (tiga, kanan) melancarkan Portal Angkatan Muda KEADILAN (AMK) pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga, kiri) dan Ketua AMK, Adam Adli (dua, kanan).-Gambar BERNAMA
Rafizi (tiga, kanan) melancarkan Portal Angkatan Muda KEADILAN (AMK) pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga, kiri) dan Ketua AMK, Adam Adli (dua, kanan).-Gambar BERNAMA

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini melancarkan Kerangka Kerja Keadilan Menang Siri PRU16 (KEMAS16), sebagai persediaan PKR menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Rafizi dalam ucapannya ketika membentangkan KEMAS16 itu berkata kerangka kerja itu, akan memperkukuhkan organisasi akar umbi melalui program tersusun dan berkala, mengikut templat perusahaan sosial sebagai gerak kerja ke arah PRU16.

“Keseluruhan kepimpinan dari setiap peringkat akan digerakkan turun ke negeri-negeri secara berkala, diikuti ke cabang, menandakan kesediaan kita menghadapi PRU Ke-16. Hari ini, persiapan bermula dua tahun lebih awal bagi pastikan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) kekal sebagai Perdana Menteri, selepas PRU akan datang.

“Melalui KEMAS16, kita menyasarkan agar Program Akar Umbi Dwi-Minggu mencecah sekurang-kurangnya empat program sebulan menjelang akhir 2024 dan meningkat secara berkala dalam 2025 ke arah PRU16,” katanya ketika membentangkan KEMAS16 dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 tahun (POP25) pada Konvensyen 25 Tahun PKR, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Rafizi berkata parti itu, menyasarkan 80 peratus pengundi atas pagar disentuh melalui phone bank menjelang akhir 2025, serta melahirkan 2,000 Jentera Komunikasi akar umbi terlatih dan disijilkan, menjelang tahun hadapan selain petugas Unit Food Bank terlatih di 100 cabang terpilih.

Turut dilancarkan Rafizi pada majlis itu ialah kerangka gerak kerja di bawah program POP25.

Rafizi berkata kerangka kerja itu, dibina melalui pendekatan tersusun dalam usaha parti itu untuk menambah ahli, ranting parti, jentera komunikasi terlatih serta pelaksanaan latihan kepimpinan di peringkat negeri.

“Ia digerakkan oleh Majlis Pimpinan Pusat Keadilan (MPP), Majlis Pimpinan Negeri (MPN) cabang dan ranting, serta keseluruhan anggota akar umbi.

“POP25 akan dijalankan melalui digitalisasi sebagai pemboleh daya utama mengikut templat ukuran kemajuan dan sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Rafizi turut menyasarkan pertambahan ahli parti 20 peratus setiap tahun di cabang-cabang tumpuan, manakala purata 10 peratus di peringkat nasional sehingga PRU16.- BERNAMA
 

Advertisement