Anda di sini

Paip bocor punca Jalan Balai Bomba Sandakan rosak

Advertisement
 Calvin (tengah) ketika membuat tinjauan di kawasan Jalan Balai Bomba Sandakan.
TINJAU: Calvin (tengah) ketika membuat tinjauan di kawasan Jalan Balai Bomba Sandakan.

SANDAKAN: Masalah jalan rosak berhampiran kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dipercayai berpunca akibat paip bocor yang tidak diperbaiki sehingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong berkata, pihaknya menerima aduan awam mengenai keadaan jalan raya di kawasan Jalan Balai Bomba yang mengalami kerosakan.

Katanya, tinjauan telah dibuat di kawasan berkenaan dan mendapati paip air bocor sehingga menyebabkan berlaku takungan air.

“Jalan berkenaan masih baik sekiranya tidak berlaku kebocoran paip yang menyebabkan air bertakung setiap hari.

“Justeru, saya sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak Jabatan Air Sandakan dan meminta supaya mereka membaiki paip berkenaan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Sementara itu, Calvin turut meminta pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) memotong ranting pokok yang berada di sepanjang jalan di daerah ini.

“Kebanyakan ranting-ranting pokok yang berada di sepanjang jalan sudah panjang dan menghalang laluan kenderaan.

“Ia juga perlu dilakukan segera kerana dapat membahayakan pengguna jalan terutamanya pada musim hujan,” katanya.

Menurutnya, aduan masyarakat menjadi keutamaan pejabat DUN Elopura untuk diselesaikan dengan segera supaya rakyat boleh hidup dengan selesa.

“Kami akan bekerja dengan lebih keras dan baik untuk membantu rakyat terutamanya di kawasan Elopura,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement