Anda di sini

Tambah penerbangan, guna pesawat lebih besar bawa penumpang terkandas pulang: MOTS

Advertisement
 

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) menasihatkan syarikat penerbangan agar menambah penerbangan atau menggunakan pesawat lebih besar untuk membawa penumpang yang terkandas pulang susulan daripada insiden letusan Gunung Ruang di Manado, Sulawesi, Indonesia.

Menterinya Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kementerian percaya terdapat ramai penumpang yang menunggu penerbangan dijadualkan semula.

“Manakala kebanyakan jadual penerbangan sedia ada sudah penuh ditempah kerana musim perayaan. 

“Kementerian juga menasihatkan penumpang yang terjejas supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini dan bantuan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pada Khamis, ratusan penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) selepas semua penerbangan dari Sarawak ke Kuala Lumpur dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia.

Amaran bahaya abu gunung berapi di Sulawesi Utara, Indonesia telah mengakibatkan pembentukan awan abu bergerak ke arah FIR Kota Kinabalu, menimbulkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara Pulau Borneo, sekali gus secara langsung memberi kesan kepada operasi penerbangan ke Sarawak dan Sabah.

“Ini mendorong Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memberi amaran dan membatalkan kebanyakan operasi penerbangan ke Sabah dan Sarawak pada Khamis.

“Ia adalah bencana alam, walaupun ia telah menyebabkan kesulitan dan kekecewaan kepada kebanyakan penumpang, tetapi kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan rakyat dan penumpang,” katanya.

Lee berkata, bagaimanapun CAAM menyatakan ramalan menunjukkan awan abu gunung berapi telah mula bersih sekitar jam 7 malam dari sekitar wilayah Sarawak dan bersih sepenuhnya di seluruh Borneo mulai jam 10 malam Khamis. 

Kata beliau, keadaan telah bertambah baik dan syarikat penerbangan berkaitan menyambung semula operasi penerbangan mereka ke Sabah dan Sarawak bermula seawal jam 7 malam Khamis.

“Kawalan Trafik Udara di kedua-dua negeri Borneo telah diarah melanjutkan waktu operasinya bagi memudahkan pemulihan. 

“Bagaimanapun, CAAM menasihatkan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat agar sentiasa memantau kemas kini meteorologi, nasihat dan maklumat berkaitan abu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” tegasnya.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan MOTS akan terus memantau keadaan dengan teliti, bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia, CAAM, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat penerbangan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang dijaga.
 

  • oleh
  • Advertisement