Anda di sini

Nancy galak komuniti di Sarawak mohon tubuh PAWE

Advertisement
Nancy menyantuni tetamu pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kumpulan Sasar di Wisma SABATI, Kuching hari ini.
Nancy menyantuni tetamu pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kumpulan Sasar di Wisma SABATI, Kuching hari ini.

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggalakkan penubuhan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di negeri ini.

Menterinya Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini kerana PAWE sedia ada di Sarawak setakat ini masih belum mencukupi.

"Di Sarawak, kita ada 13 PAWE namun jumlah ini dilihat masih belum mencukupi. 

"Justeru, kita mahu menggalakkan komuniti setempat menubuhkan PAWE, sebaik-baiknya satu pusat di setiap kawasan Parlimen," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kumpulan Sasar di Wisma SABATI di sini, hari ini.

Nancy berkata, kementeriannya akan membantu dari segi menyediakan bantuan tidak melebihi RM100,000 setahun kepada komuniti tersebut.

Namun katanya, bantuan yang diberikan adalah berdasarkan permohonan yang dikemukakan.

"Kalau mereka tidak memohon, maka kita tidak dapat menghulurkan bantuan," jelasnya.

Nancy berkata, PAWE merupakan pusat aktiviti yang ditubuhkan melalui pembabitan komuniti serta pertubuhan sukarela kebajikan (PSK), tetapi disokong oleh kerajaan melalui penyaluran bantuan kewangan, khidmat nasihat dan sebagainya.

"Ia bertujuan memupuk dan menyokong Dasar Warga Emas Negara bagi mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat serta positif," katanya.

PAWE merupakan tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti serta perkhidmatan bercorak penjangkauan sosial pembangunan menyasarkan kepada warga emas yang sihat serta dapat menguruskan diri.

Sementara itu, Nancy memberitahu seramai 3,500 kumpulan sasar terdiri daripada penghuni rumah kanak-kanak, PAWE, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) diraikan pada majlis berkenaan.

Objekif penganjuran majlis adalah untuk meraikan dan menyantuni kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
 

  • oleh
  • Advertisement