Anda di sini

MPS timbang henti penggunaan beg plastik sekali guna: Ting

Advertisement
Ting (dua kanan) melakukan simbolik penanaman pokok sempena Hari Bumi Sedunia di Taman Tasik Permai, Sibu hari ini sambil diperhatikan Toh (kanan) serta yang lain.
Ting (dua kanan) melakukan simbolik penanaman pokok sempena Hari Bumi Sedunia di Taman Tasik Permai, Sibu hari ini sambil diperhatikan Toh (kanan) serta yang lain.

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sedang mempertimbang untuk menghentikan penggunaan beg plastik sekali guna sebagai usaha memelihara alam sekitar.

Pengerusinya Clarence Ting Ing Horh berkata, pelupusan beg plastik dan botol air plastik menjejaskan alam sekitar, khususnya di Kampung Datu dan Kampung Hilir yang terletak berhampiran tebing sungai.

"Di Sibu kita ada masalah terutama di Kampung Datu dan Kampung Hilir. Barangan plastik dibuang ke dalam sungai yang berakhir di dua kampung, di mana penduduk dipersalahkan," ujarnya pada pelancaran Hari Bumi di Sedunia Taman Tasik Permai di sini, hari ini.

Justeru, Ting menasihatkan orang ramai terutamanya wanita untuk memilih beg boleh guna semula.

"Elakkan daripada membawa pulang beg plastik. Di banyak negara, kos satu beg plastik ialah RM2, satu euro, atau AS$1. 

"Mungkin MPS dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) harus bekerjasama untuk menggalakkan pasar raya menghentikan penyediaan beg plastik kepada pelanggan," katanya.

Ting juga mencadangkan penggunaan botol air peribadi berbanding botol plastik sekali pakai, sekali gus menekankan potensi pengurangan pengeluaran sisa plastik melalui amalan itu.

Beliau turut menggesa syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghentikan pengedaran air botol pada majlis-majlis mereka.

"Semasa acara Big Bike tahun lepas, saya menggesa penganjur untuk menghentikan pengedaran air botol, sebaliknya menyediakan botol boleh isi semula untuk pengunjung," katanya.

Ting berkata, MPS merupakan pihak berkuasa tempatan perintis di negeri ini yang melarang penggunaan bekas makanan styrofoam di semua premis makanan dengan peraturan tersebut berkuat kuasa sejak 1 Januari 2014.

Selain itu katanya, kedai makan telah diarahkan untuk tidak menggunakan dan menyediakan penyedut minuman plastik.

"Sudah sedekad Sibu meninggalkan penyedut minuman plastik. Kita harus berbangga dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi Kuching kini mengikutinya," tambahnya.

Turut hadir Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai dan pengerusi pengelola Hari Bumi Sedunia Kaunselor Toh Yong Kiang. 
 

  • oleh
  • Advertisement