Anda di sini

Kesedaran tentang ASD, autisme perlu dipupuk dalam masyarakat

Advertisement
Ngu (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ting selepas perasmian Karnival Kesedaran Autisme Sibu, hari ini.
Ngu (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ting selepas perasmian Karnival Kesedaran Autisme Sibu, hari ini.

SIBU: Memupuk kesedaran tentang Gangguan Spektrum Autisme (ASD) adalah sangat penting dalam kalangan masyarakat untuk lebih memahami mereka yang terjejas akibat sindrom tersebut.

Presiden Persatuan Autisme Sibu (SAA) David Ngu berkata, ini kerana ramai anak-anak menghidap sindrom tersebut dan autisme boleh dilihat ada di mana-mana. 

"Tambahan pula, di Sibu sahaja, sebelum 2020, secara purata terdapat kira-kira 70 kanak-kanak autisme telah dikenal pasti setiap tahun.

"Tetapi bermula dari 2020, angka itu telah mencapai lebih daripada 100 kes setiap tahun. Dan, ia tidak pernah turun.

"Oleh itu, kami berpendapat kesedaran awam mengenainya sangat perlu dan amat relevan dengan perkembangan semasa statistik sindrom itu," ujarnya dalam ucapan alu-aluan pada Karnival Kesedaran Autisme Sibu di pekarangan Pusat Agape Sibu di sini, hari ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting.

Hadir sama ialah Pengerusi Olimpik Khas Sarawak Bahagian Sibu Pemanca Datuk Jason Tai.

Menurut Ngu, statistik menunjukkan bahawa setiap 100 kanak-kanak akan ada satu kanak-kanak autisme di dunia. 

Manakala, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) jelasnya, satu daripada setiap 36 kanak-kanak adalah ASD.

"Bermakna sekurang-kurangnya 9,000 bayi disahkan menghidap ASD setiap tahun. Di sekolah, setiap kelas akan ada seorang anak yang mempunyai sindrom ASD," jelasnya.

Beliau berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia adalah pada setiap tanggal 2 April setiap tahun sebagai Hari Kesedaran Autisme Sedunia untuk menggalakkan setiap negara di dunia meningkatkan kesedaran tentang autisme.

Justeru tambahnya, setiap tahun SAA seperti organisasi yang lain akan menganjurkan banyak kempen kesedaran untuk menggalakkan kesedaran orang ramai tentang autisme.
 

  • oleh
  • Advertisement