Anda di sini

Guru belum jadi ahli STU diminta mendaftar: Lau

Advertisement
Yong (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Chiew selepas merasmikan AGM STU di Sibu hari ini.
Yong (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Chiew selepas merasmikan AGM STU di Sibu hari ini.

SIBU: Guru-guru yang masih belum menjadi ahli Kesatuan Guru Sarawak (STU) digesa mendaftar sebagai ahli bagi memastikan kesatuan itu lebih lantang memperjuangkan kebajikan dan faedah mereka. 

Dalam membuat gesaan ini, Timbalan Speaker Dewan Negara Alice Lau berkata, hanya kesatuan yang kuat mempunyai kuasa rundingan dengan pihak tertentu untuk memperjuangkan ahli-ahlinya.

"STU adalah kesatuan terbesar di Sarawak dan kesatuan kedua terbesar di seluruh Malaysia. Ia telah lama memperjuangkan kebajikan dan faedah guru-gurunya selaras dengan aspirasi pendidikan negara.

"Saya ingin menyeru semua guru yang masih belum menyertai kesatuan sekerja ini agar menjadi ahli secepat mungkin. Rugi jika anda tidak menyertainya kerana ada faedah dan kebajikan boleh dinikmati," ujarnya.

 Teks ucapan beliau dibacakan oleh pembantu peribadinya Stanley Chiew semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) STU Sibu Ke-21 di Kolej Laila Taib (KLT) di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Lanang itu turut menggalakkan semua ahli berinovasi dan terbuka kepada perspektif berbeza bagi memastikan semua ahli mendapat keputusan diingini.

Beliau mengingatkan keahlian dalam STU bukan sekadar jawatan, tetapi juga tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan penuh integriti dan ikhlas.

"Kita harus bersama membina pendidikan lebih cemerlang pada masa hadapan dan mampu memberi impak positif kepada ribuan guru di negeri ini," jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua STU Kullin Djayang berkata, STU sentiasa berusaha memastikan kebajikan guru terpelihara dan menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Bagaimanapun katanya, isu lebih universal termasuk gaji dan elaun lebih sukar diselesaikan secara individu kerana kerajaan sedang mengkaji semula isu itu untuk semua penjawat awam di negara ini.

"Bagaimanapun, saya ingin memberi jaminan STU akan sentiasa bekerjasama dan merangka sistem gaji baharu yang diumumkan pada Oktober tahun ini sebelum pembentangan Bajet 2025," katanya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Agung STU Chung Fui San.

Kullin juga menyebut kenaikan yuran dilaksanakan pada Februari 2024 berikutan majoriti ahlinya mengundi kenaikan itu.

Beliau berkata, kenaikan itu mengikut perlembagaan dan berdasarkan nasihat undang-undang.

Katanya, cadangan kenaikan yuran dikemukakan pada Persidangan Dwitahunan STU pada 2022 dan ia diluluskan oleh ahli-ahli yang menghadiri persidangan itu.

"Berikutan itu, Majlis Tertinggi STU bersama AJK STU di setiap bahagian seluruh Sarawak menjalankan kempen dan mengedarkan borang undi sulit kepada ahli-ahli untuk mengundi.

"Keputusan rasmi ialah mereka mengundi meluluskan kenaikan itu melebihi separuh daripada jumlah ahli mengambil bahagian dalam proses pengundian," katanya.

Beliau menarik perhatian kenaikan yuran meningkatkan faedah ahli-ahlinya termasuk insurans peribadi untuk kemalangan.

Insurans sedemikian katanya, adalah penting kerana terdapat ramai guru melancong sebagai sebahagian daripada tugas mereka.

Selain itu, terdapat juga peningkatan dalam faedah persaraan.

Justeru, beliau turut menggesa lebih ramai guru menyertai STU agar dapat menikmati begitu banyak faedah dan kebajikan.

Sementara itu, Pengerusi STU Sibu Yong Sie Hing berkata setakat ini hanya kira-kira 60 peratus guru di Sibu menyertai STU Sibu.

"Saya percaya kita perlu bekerja lebih keras supaya dapat menggalakkan lebih ramai guru di Bahagian Sibu menyertai kesatuan ini," katanya.
 

Advertisement