Anda di sini

Dua bot nelayan Vietnam kaut hasil laut negara ditahan

Advertisement
 Hasil tangkapan balat basah yang ditemukan di dalam bot berkenaan.
RAMPAS: Hasil tangkapan balat basah yang ditemukan di dalam bot berkenaan.
 Peralatan menangkap balat yang diperbuat daripada besi dan diharamkan di negara ini.
HARAM: Peralatan menangkap balat yang diperbuat daripada besi dan diharamkan di negara ini.

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan dua buah Bot Nelayan Asing Vietnam (BNAV) di sekitar 5.2 dan 4.4 batu nautika timur laut Pulau Sibongor Laut, Kudat semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot nelayan terbabit ditahan semasa sedang leka mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

“Kegiatan kedua-dua bot berkenaan berjaya dikesan oleh aset ronda Zon Maritim Kudat ketika menjalankan rondaan OP Khas Pagar Laut.

“Semasa diperiksa, seramai 12 orang individu warganegara Vietnam berumur lingkungan 23 hingga 53 tahun yang mengendalikan kedua-dua bot tanpa memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot terbabit turut menemukan kira-kira 20 kilogram balat basah yang dipercayai ditangkap bersama peralatan menangkap balat yang diperbuat daripada besi serta 600 liter minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, suspek dan semua barangan rampasan termasuk bot yang dianggarkan lebih RM3.5 juta diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.

“Zon Maritim Kudat juga menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement