Anda di sini

Penumpang terkandas di LTAK luah perasaan bercampur-baur

Advertisement
Qlaressa (dua kiri), Aida Syakirah (dua kanan) menunggu dengan sabar di lobi LTAK untuk penerbangan seterusnya. – Gambar Churchill Edward
Qlaressa (dua kiri), Aida Syakirah (dua kanan) menunggu dengan sabar di lobi LTAK untuk penerbangan seterusnya. – Gambar Churchill Edward

KUCHING: Pelajar jurusan undang-undang Qlaressa Aessherra Ezat Fahmy menzahirkan perasaan bercampur-baur selepas penerbangannya ke Kuala Lumpur hari ini dibatalkan berikutan letusan gunung berapi Gunung Ruang di Indonesia.

Gadis berusia 20 tahun itu sepatutnya menaiki penerbangan AirAsia pada jam 12.30 tengah hari, hari ini kerana dia perlu kembali ke universitinya.

Qlaressa merupakan antara penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini selepas rata-rata penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia dan Firefly dibatalkan berikutan letusan gunung berapi tersebut.

Ketika ditemui, Qlaressa berkata dia berasa sedikit tertekan apabila memikirkan tentang kucing peliharaannya di Kuala Lumpur, namun pada masa sama dia juga berasa bersyukur kepada Tuhan kerana diberikan keselamatan.

"Nenek saya menasihati saya bahawa hari ini mungkin bukan hari yang baik untuk menaiki penerbangan kerana keadaan sekarang berbahaya.

"Tetapi saya merindui kucing saya. Salah seekor daripadanya sedang bunting," katanya kepada The Borneo Post.

Suasana di LTAK menunjukkan para penumpang melihat paparan skrin untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai penerbangan mereka. – Gambar Churchill Edward
Suasana di LTAK menunjukkan para penumpang melihat paparan skrin untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai penerbangan mereka. – Gambar Churchill Edward

Qlaressa sepatutnya menaiki penerbangan bersama sepupunya, Aida Syakirah Zainuddin, juga berusia 20 tahun dan pelajar jurusan perniagaan.

Kedua-dua gadis itu ditemani di LTAK oleh bapa Aida Syakirah iaitu Zainuddin dan kakaknya Dania.

Qlaressa memaklumkan AirAsia tidak menghantar e-mel atau SMS kepada mereka atas kelewatan itu, mungkin kerana pembatalan itu adalah keputusan saat-saat akhir syarikat tambang rendah itu.

Mereka sebaliknya hanya mengetahui mengenai pembatalan penerbangan itu sebaik tiba di lobi LTAK sekitar jam 10.30 pagi.

Qlaressa berkata, dia dan sepupunya kini hanya mampu menunggu penerbangan yang dijadualkan semula hari ini dan jika tidak, mereka akan melakukan perjalanan pada hari lain.

"Kami mungkin tidak akan menunggu sepanjang hari di sini, tetapi kami masih mengharapkan penerbangan lain hari ini," katanya sambil menambah, mereka perlu dimaklumkan dengan maklumat kemas kini oleh kakitangan kaunter dari semasa ke semasa.
 

Advertisement