Anda di sini

Kes mayat di Senadin: Lelaki ditangkap disyaki bunuh bapa saudara 

Advertisement
Kelihatan Alexson (tiga kanan) turut berada bersama pegawai polis di salah sebuah rumah yang disiasat berhubung kes ini.
Kelihatan Alexson (tiga kanan) turut berada bersama pegawai polis di salah sebuah rumah yang disiasat berhubung kes ini.

MIRI: Seorang lelaki tempatan berjaya diberkas polis di sebuah rumah di Tudan, di sini, petang pada Rabu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di tebing tasik di Senadin yang disyaki dibunuh. 

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an yang juga anak saudara kepada mangsa, ditangkap kira-kira jam 2 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri. 

“Hasil siasatan awal mendapati motif pembunuhan adalah kerana perselisihan faham di antara ahli keluarga iaitu tidak puas hati kerana isu dalaman ahli keluarga mereka. 

“Hubungan di antara si mati dan suspek adalah bapa saudara dan anak saudara di mana suspek adalah anak saudara kepada si mati. 

“Sehubungan itu, kes ini diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini. 

Alexson (kanan) bersama pegawai menyiasat di lokasi kejadian berhampiran tempat mayat seorang lelaki ditemui mati.
Alexson (kanan) bersama pegawai menyiasat di lokasi kejadian berhampiran tempat mayat seorang lelaki ditemui mati.

Sementara itu, suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret Miri hari ini telah diperintahkan supaya direman tujuh hari sehingga 25 April ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. 

Terdahulu, Alexson berkata polis menerima panggilan dari orang awam kira-kira jam 9.03 pagi pada Rabu yang memaklumkan mengenai penemuan seorang lelaki tidak sedarkan diri di tebing tasik berkenaan. 

“Ekoran daripada itu, sepasukan polis dari IPD Miri bergegas ke tempat kejadian dan mangsa dijumpai dalam keadaan tertungkup di kawasan tebing tasik dan telah dibawa ke darat. 

“Mangsa hanya berseluar dalam sahaja dan terdapat seluar pendek yang tersangkut pada pergelangan kaki. 

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat enam kesan kecederaan di bahagian kepala disyaki berpunca dari tetakan objek tajam, dua kesan tetakan pada tapak tangan kanan, satu kesan tetakan pada bahagian belakang badan dan satu kesan tetakan pada lutut sebelah kiri,” ujarnya. 

Menurut Alexson, mangsa yang berusia 57 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya. 

Sementara itu, Alexson menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan. 

"Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini diminta untuk tampil ke balai polis yang berhampiran untuk membantu siasatan atau menghubungi ASP Anuar Affendi di talian 019-7319540 atau 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan," ujarnya.
 

Advertisement